Pertahanan Real Madrid, Marcelo, mengakui gergasi LaLiga itu merindui kelibat Cristiano Ronaldo, namun berkata ia sememangnya sudah dijangkakan.

Selepas sembilan musim gemilang bersama Real Madrid, Ronaldo meninggalkan kelab itu untuk menyertai pasukan juara Serie A, Juventus.

Real Madrid segera terkesan dengan kehilangan bintang Portugal itu dengan bergelut dalam kempen awal musim ini sebelum dipulihkan pengendali baru, Santiago Solari.

Namun, mereka masih ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.

Bagi Marcelo, Real Madrid jelas merindui pemain terbaik dunia itu, namun percaya pasukan itu masih mendominasi bola sepak Eropah.

"Dia bukan sahaja rakan sepasukan tetapi sahabat kepada saya, Sergio Ramos dan Luka Modric," katanya kepada Club del Deportista.

"Ia jelas, kami merindui pemain terbaik dunia itu.

"Namun, kami masih mempunyai barisan pemain terbaik di setiap posisi.

"Setiap pasukan pasti mendambakan khidmat Cristiano.

"Madrid tetap akan menjadi Madrid walapun pemain silih berganti," katanya lagi.

Ronaldo mengekalkan prestasi terbaiknya bersama Juve, musim ini.

Dia sudah menjaringkan 11 gol daripada 20 perlawanan bersama gergasi Itali itu.