Marcelo percaya satu-satunya sebab penyokong mengejek pemain adalah didorong keperluan untuk pemain terbabit agar memperbaiki sesuatu dalam permainan mereka.

Perkara itu disuarakannya selepas rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema, menjadi mangsa cemuhan penyokong dalam kemenangan 3-0 ke atas Las Palmas, hujung minggu lalu.

Madrid bangkit daripada kekalahan memalukan kepada Girona dan Tottenham Hotspur, namun Benzema dan Cristiano Ronaldo tumpul di depan gawang.

Benzema terlepas beberapa peluang terbaik dan mendapati dirinya diejek sekumpulan penonton di Santiago Bernabeu, lebih-lebih lagi penggempur dari Perancis itu sekadar mencetak dua gol dalam 12 perlawanan.

"Saya tidak akan bercakap tentang ketidakadilan berdasarkan ejekan penyokong," kata Marcelo kepada wartawan.

"Sekiranya mereka melayan anda sebegitu, anda perlu memperbaiki sesuatu. Sukar untuk bermain apabila anda sedang diejek tetapi anda perlu berlatih seperti Benzema, menghadapinya seperti Benzema.

"Ejekan adalah sebahagian daripada bola sepak. Tidak semua boleh menjadi indah," ujarnya.

Pemain Brazil itu juga menambah bahawa Benzema dan Ronaldo adalah individu pertama yang akan marah terhadap diri mereka sendiri jika mereka gagal melakar jaringan.

Dia berkata: "Mereka telah bekerja keras untuk pasukan, saya melihat mereka bermain dengan baik.

"Mereka gagal menjaringkan gol, ini adalah perkara biasa. Mereka benar-benar berang kerana mereka tidak membantu dalam soal jaringan, namun mereka gembira dengan kemenangan itu."