Bintang Real Madrid, Marcelo, mengucapkan terima kasih kepada Jose Mourinho di atas kesan yang diberikan dalam kariernya sewaktu di Santiago Bernabeu dan menyatakan rasa hormat terhadap pengendali dari Portugal itu selepas dipecat oleh Manchester United.

Mourinho dipecat United semalam susulan permulaan suram musim ini tatkala The Red Devils kini ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

Aksi terakhir Mourinho menyaksikan pasukan bimbingannya itu tewas 3-1 di Anfield, Ahad lalu, dan United tampak gagal menghadirkan sebarang ancaman berbahaya.

Spekulasi terbaru menyebut Mourinho tersenarai untuk mengambil-alih Madrid penghujung musim ini walaupun dipecat pada 2013 di Santiago Bernabeu dan mengakhiri tempoh tiga tahun.

Walaupun Marcelo berterima kasih kepada Mourinho kerana membantu dalam pembentukan karier bek kiri itu, dia menolak untuk melibatkan diri dalam spekulasi bekas pengurus Chelsea itu ke Madrid.

"Saya berada di sini untuk bercakap tentang Piala Dunia Kelab," kata Marcelo dalam sidang media menjelang pertemuan dengan Kashima Antlers.

"Saya tahu mengapa anda bertanya kepada saya. Dia seorang jurulatih yang pernah mengendalikan Madrid. Amat memalukan kerana Mourinho seorang jurulatih hebat dan kini tiada majikan.

"Jika dia kembali ke Madrid, saya bukan individu yang akan membuat keputusan. Saya berterima kasih kepada Mourinho di atas sumbangannya kepada saya sewaktu di Madrid."