Penyingkiran Argentina daripada saingan Piala Dunia di tangan Perancis disifatkan sebagai "satu riwayat kematian yang tidak diumumkan" oleh Diego Maradona.

Angel Di Maria dan Gabriel Mercado memadamkan jaringan penalti daripada Antoine Griezmann untuk memberikan pendahuluan buat Argentina, namun Perancis bangkit menerusi voli kencang Benjamin Parvard dan dua gol daripada Kylian Mbappe.

Sergio Aguero menjaringkan gol pada lewat permainan buat skuad kendalian Jorge Sampaoli itu tetapi ia tidak mencukupi untuk mengelakkan kekalahan 4-3 di tangan pasukan bimbingan Didier Deschamps itu di Kazan.

Maradona, yang memenangi Piala Dunia 1986 bersama Argentina dan masih dianggap sebagai pemain terbaik sepanjang zaman buat negara itu, dilihat hadir menonton perlawanan tersebut dan tidak menyaksikan sebarang perkara yang memeranjatkannya.

“Kami ibarat hadir menonton satu pementasan berbanding aksi di atas padang kerana kami menyaksikan satu riwayat kematian yang tidak diumumkan. Itulah yang berlaku,” katanya kepada teleSUR.

“Perancis mengekang Lionel Messi dan bahagian tengah Argentina, jadi dia tidak dapat berada di belakang mereka.

“Tanpa Messi, kami hanyalah sebuah pasukan biasa. Perlawanan diharungi dalam keadaan yang kami jangkakan. Apa yang kami jangka telah berlaku.

“Satu lagi trofi Piala Dunia telah kami lepaskan dan kami pulang dengan tangan kosong. Amat buruk apabila Argentina mengharungi saingan Piala Dunia tanpa mampu menyediakan pasukan yang konsisten,” ujarnya.

Cabaran Argentina diselitkan dengan drama pemberontakan tatkala pemain-pemain mahu Sampaoli digantikan, sehingga menyebabkan pengendali itu terpaksa melepaskan tanggungjawab dalam memilih skuad sewaktu berdepan aksi kumpulan yang getir menentang Nigeria.

Sampaoli menggunakan Messi sebagai pemain nombor 9 palsu dan memberikan Christian Pavon penampilan pertama dalam Piala Dunia ketika berdepan Perancis, dengan meletakkan bintang utama seperti Aguero, Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala di bangku simpanan.

Maradona jelas tidak tertarik dengan percaturan yang diterapkan oleh Sampaoli, apabila menambah: "Apabila melihat kepada formasi, Pavon, Messi dan Di Maria perlu menyerang.

“Ya, mereka mampu mencipta gerakan tetapi mereka bukan penyerang.”