Diego Simeone sukar untuk menerima perkhabaran kematian Diego Maradona ketika dia merenungkan malam yang sukar bagi Atletico Madrid.

Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun awal pagi tadi, peguamnya mengesahkan meninggal dunia akibat sebab semula jadi.

Sejurus selepas berita kematian Maradona, Atleti memulakan perlawanan bertemu Lokomotiv Moscow dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), aksi Kumpulan A yang berakhir seri tanpa jaringan.



Simeone berada dalam skuad Argentina ketika legenda Napoli itu beraksi dalam Piala Dunia 1994, pernah juga menjadi rakan sepasukan pemain tengah itu di Sevilla pada 1992-93.

"Ia amat sukar. Apabila mereka memanggil anda di telefon dan memberitahu anda bahawa Diego meninggal dunia, anda berfikir, 'Diego tidak boleh mati'," kata Simeone.

"Mitos sudah meninggalkan kita, seorang Argentina yang menyebarkan semua pemberontakannya untuk bertarung dengan perkara positif dan negatifnya, tetapi sentiasa maju ke hadapan. Cara untuk bersemangat bermain bola sepak adalah dengan memandangnya.

"Dia menyambut saya dengan cara yang luar biasa di Seville, saya masih muda. Pada saat mereka memberitahu anda mengenai kematian Maradona, anda berkata, 'Tidak mungkin, dia selalu mengatasinya.'

"Kali ini dia tidak berjaya, tetapi dia akan selalu bersama kami, terutama dengan pemain Argentina, dia adalah mitos dan ini memberi kita banyak kesedihan dan kekosongan. Kami berharap keluarga tabah menghadapi dugaan."