Diego Maradona meletak jawatan selaku pengurus kelab Superliga Argentina, Gimnasia y Esgrima La Plata, hanya dua bulan selepas menerajui pasukan itu.

Bekas legenda Argentina dan Napoli itu mengemudi pasukannya dalam lapan perlawanan di mana dia meraih tiga kemenangan dan berdepan lima kekalahan.

Pasukan yang bergelut di zon penyingkiriran itu kekal di tangga ketiga terbawah dan berita mengenai presiden kelab, Gabriel Pellegrino, yang tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan hujung minggu ini, telah mendorong Maradona untuk meninggalkan pasukan itu.

"Maradona sudah berhenti kerja hari ini, dia bukan lagi ketua jurulatih Gimnasia," kata Pellegrino kepada Radio La Red.

"Maradona bekerja dalam skema yang kolektif.

"Katanya, dia berada di sini untuk menambah, bukan untuk berehat.

"Dia mahu meneruskannya tetapi dia mahukan penyatuan.

"Itu tidak berlaku di sini," katanya.

Mariano Cowen dan Salvador Robustelli akan bertanding untuk merebut jawatan presiden tetapi Maradona tidak berhasrat untuk meneruskan tugasnya tanpa Pellegrino.

Pellegrino menambah: "Perbincangan hari ini gagal. Akan ada pemilihan Sabtu ini.

"Maradona telah meluahkan hasratnya dan telah meluangkan waktunya. Dia mempunyai keazaman yang besar.

"Pemilihan akan berlangsung Sabtu ini dan (calon yang terpilih) akan menentukan siapa ketua jurulatih baru," katanya lagi.

Pellegrino memainkan peranan yang besar dalam membawa Maradona kembali meneruskan karier kejurulatihannya di Argentina.

Gimnasia merupakan pasukan Argentina pertama yang dikendalikan jurulatih berusia 59 tahun itu sejak pertengahan 90-an.

Ketika itu, dia melatih Textil Mandiyu dan Racing Club kerana digantung daripada beraksi sebagai pemain gara-gara gagal ujian dadah dalam Piala Dunia 1994.

Selepas sedekad, dia kembali ke negara asalnya untuk mengendalikan skuad kebangsaan Argentina dalam Piala Dunia 2010 sebelum disingkirkan Jerman dalam suku akhir.

Dia turut mengendalikan kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Wasl dan Fujairah, sebelum menyertai kelab divisyen dua Mexico, Dorados de Sinaloa, yang turut menjadi sebahagian babak penting yang disiarkan dalam siri dokumentari di Netflix.

Bekas pemain tengah, Mariano Messera, akan memimpin Gimnasia ketika berdepan Arsenal de Sarandi di laman sendiri hujung minggu ini.