Di sebalik kemelut yang melanda pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), P. Maniam bersedia memastikan kempen The Red Giants dalam Liga Super 2017 tidak berakhir dengan tragedi.

Pelantikan Maniam disahkan Selangor, Ahad lalu, dengan kehadirannya mampu menawarkan kestabilan kepada pemain.

Maniam juga bukan nama asing dalam barisan kejurulatihan Selangor setelah sebelum ini pernah memainkan peranan sebagai pembantu kepada antaranya, K. Devan, Irfan Bakti Abu Salim dan Mehmet Durakovic.

“Ya, saya menyedari ia bukan satu tugas mudah untuk bersaing dalam Liga Super dengan pemain yang kurang berpengalaman.

"Tetapi dengan menerapkan pendekatan saya, mereka mampu melakukannya musim akan datang,” katanya.

Maniam juga bertugas di bawah ketidaktentuan siapa pemain yang akan kekal bersama Selangor sehingga tutupnya jendela perpindahan bagi musim depan pada 22 Januari.

Dalam tempoh ini, Maniam menitikberatkan kecergasan pemain dan menimbang keperluan memenuhi kuota import, dengan Selangor dijangka membariskan majorti pemain tempatan dan bakat daripada skuad Piala Presiden untuk musim hadapan.

“Pemain senior dan muda masih lagi berusaha untuk mendapatkan keserasian, kami akan cuba mendapatkan beberapa pemain import yang berkualiti dan saya yakin kami memiliki pasukan yang seimbang.”

Kemelut yang melanda FAS turut membabitkan PKNS FC, bermula dengan pendedahan bekas pengurus Selangor, Amirudin Shari, mengenai ketiadaan dana pada November lalu.

Ia berlarutan dengan drama Selangor mahu menarik diri daripada saingan Liga Malaysia bagi musim 2017, sebelum Maniam dilantik sebagai jurulatih pasukan yang diumumkan semalam.