Maniam akui misi sukar Selangor raih sebarang trofi

Oleh Shaiful Shamsudin 27 Disember 2016 3
Maniam akui misi sukar Selangor raih sebarang trofi
Maaf penyokong Selangor, tiada aspirasi untuk merebut sebarang piala daripada Selangor pada musim 2017. 

Sebaliknya, misi besar skuad The Red Giants adalah untuk mengelak sebarang tragedi pada penghujung saingan Liga Super. 

Ketua jurulatih baru Selangor, P. Maniam, menegaskan ia satu keperluan untuk anak buahnya beraksi tanpa tekanan. 

Sebelum ini, sebagai pasukan berstatus pilihan, sasaran merebut piala ibarat tanggungjawab Selangor yang layak ke final Piala Malaysia musim lalu. 

Dengan nama besar seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Pahang dan Perak berbelanja besar dalam mendapatkan khidmat pemain berpengaruh, Selangor sekadar menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima terbaik bagi musim depan. 

"Tiada sasaran piala untuk musim depan kerana kami menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima teratas (Liga Super). 

"Selangor, sebagai sebuah pasukan gergasi, saya berasakan kami perlu ada matlamat dan bukan sekadar bermain bola. 

"Selangor harus memburu kejuaraan tapi ia bukannya mudah. 

"Kami hanya mempunyai tiga piala untuk diburu manakala pasukan yang bertanding pula banyak. Jadi, ia bukanlah tugas mudah," katanya. 

Antara tugasan utama Maniam dalam pra musim ini adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain. 

Pelantikan kapten juga dalam perhatiannya sambil memburu tenaga import bagi memperkuatkan barisan pemain dengan bekas pemain tengah kelahiran Brazil, Leandro, dijangka kembali menyarung jersi Merah Kuning. 

"Kami mempunyai beberapa pemain berpengalaman seperti Razman Roslan, Bunyamin Omar, Mohd Fitri Shazwan Raduwan dan S. Veenod. 

"Saya sedang mengenal pasti sama ada mereka mempunyai kualiti kepimpinan. 

"Saya akan memantau komunikasi mereka bersama rakan sepasukan yang lain sebelum saya berbincang dengan pengurusan untuk melantik ketua pasukan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen