Sadio Mane percaya bahawa kemenangan dalam Piala Dunia Kelab mampu menjadi penyuntik semangat buat Liverpool dalam usaha menjulang trofi Liga Perdana Inggeris.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu akan berdepan Flamengo dalam aksi Piala Dunia Kelab di Qatar bulan depan dan sedang menghadapi kemelut dengan kejohanan FIFA tatkala diikat 1-1 oleh Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah kelmarin.

Ketika saingan berbaki satu perlawanan, kemenangan ke atas Napoli mampu mengesahkan slot pusingan 16 buat The Reds, sekali gus membolehkan pengurus, Klopp, merehatkan beberapa tonggak dalam aksi terakhir Kumpulan E di Salzburg itu.

Namun, Liverpool masih memerlukan satu mata bagi memastikan kemaraan serta kemenangan untuk muncul juara kumpulan, membuatkan saingan di Austria itu bakal menjadi aksi getir.

Dalam masa sama, pemain tengah, Fabinho, mengalami kecederaan buku lali yang bakal menyaksikan dia disisihkan buat sementara, sekali gus membuatkan Liverpool hilang khidmat tonggak utama.

Sehingga kini, pemain Brazil itu masih belum pasti sama ada dapat kembali ketika saingan Piala Dunia Kelab tetapi Mane tidak meragui potensi pasukannya dalam kejohanan itu.

"Untuk memenangi perlawanan dan meraih kejuaraan sentiasa menjadi motivasi buat pemain," katanya.

"Diharapkan kami akan memenanginya dan memberikan kami tenaga penuh untuk meneruskannya sehingga akhir musim ini."

Pendahulu, Liverpool, telah memulakan saingan Liga Perdana Inggeris musim ini dengan 12 kemenangan dan satu seri daripada 13 aksi dan mereka bakal berdepan Brighton and Hove Albion esok.

Memandangkan mereka bakal berdepan jadual padat bagi saingan bulan depan, dengan jumlah perlawanan dan tempoh perjalanan yang panjang, Klopp perlu mengubah kesebelasan utamanya tetapi Mane tetap yakin The Reds mampu mengharungi cabaran itu.

"Kami adalah Liverpool. Kami mempunyai skuad yang besar. Liverpool memiliki ramai pemain yang boleh beraksi. Ia sebahagian daripada bola sepak dan kami perlu menghadapinya. Kami tahu ia tidak akan sukar.

"Kepenatan hanya dalam kepala. Jika jurulatih perlukan kami, semua pemain akan beraksi membantu pasukan."