Sadio Mane benar-benar menyerlah ketika Senegal menundukkan Afrika Selatan 2-0 untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 2002.

Afrika Selatan menyedari mereka perlu memenangi dua perlawanan terakhir untuk menghidupkan peluang ke Russia tetapi kekalahan di Polokwane itu semalam, meleburkan sisa-sisa harapan mereka.

Penyerang West Ham, Diafra Sakho, yang sedang mengikhtiarkan perpindahan keluar dari kelab di timur London itu, meletakkan Senegal di depan selepas hanya 12 minit, dengan menyudahkan satu lorongan Mane untuk menewaskan penjaga gol, Itumeleng Khune.

Mane sekali lagi berperanan dalam gol kedua Senegal sebelum waktu rehat apabila Khune berjaya menampan percubaan penyerang Liverpool itu hanya untuk pemain pertahanan, Thamsanqa Mkhize, tertampan masuk lantunannya ke pintu gol sendiri.

Senegal, yang mara ke suku akhir Piala Dunia dalam penampilan terakhir mereka, kini memiliki kelebihan lima mata yang tidak mampu dipintas di puncak Kumpulan D, setelah tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir mereka manakala Bafana Bafana di tangga tercorot dengan hanya satu kemenangan.

Nigeria dan Mesir adalah dua lagi negara Afrika yang sudah layak ke Piala Dunia 2018, dengan undian akan dilangsungkan pada 1 Disember depan.