Sadio Mane telah mengatasi rakan sepasukannya di Liverpool, Mohamed Salah, dan pemain sayap Manchester City, Riyad Mahrez, untuk meraih anugerah Pemain Terbaik Tahunan Afrika 2019.

Mane merupakan tonggak utama Liverpool dalam kempen 2018-19 yang menyaksikan The Reds menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah sambil dia turut menikmati permulaan Liga Perdana Inggeris cemerlang, musim ini.

Pemain Senegal itu berada dalam kelompok tiga terbaik dalam tiga tahun terakhir, menduduki tangga kedua di belakang Salah pada 2017 dan 2018 sambil di tempat ketiga pada 2016, menyaksikan Mahrez muncul pemenang ketika itu.

Namun, kali ini Mane lebih unggul mengatasi Salah dan Mahrez, yang memenangi tiga kejuaraan domestik bersama City dan mengetuai Algeria menjuarai Piala Negara Afrika 2019.

Ia merupakan kali pertama sejak 2002 menyaksikan pemain Senegal meraih anugerah tersebut tatkala El Hadji Diouf memenanginya tidak selepas meninggalkan Lens dan menyertai Liverpol.

Tatkala kejayaan Liverpool di pentas Liga Juara-Juara jelas hasil sumbangan utama Mane, dia turut menikmati tahun yang memukau.

Dalam 36 perlawanan Liga Perdana Inggeris tahun lalu, dia menyumbat 24 gol dan mencipta enam bantuan jaringan tatkala Salah meraih 18 gol dan lima bantuan jaringan dalam 34 perlawanan. Mahrez menyumbat tujuh gol dan tujuh bantuan jaringan dalam 24 perlawanan.

Mane, Salah dan Mahrez turut disenaraikan dalam Pasukan Terbaik Tahunan Afrika.

Pierre-Emerick Aubameyang mengetuai barisan depan sambil Hakim Ziyech dan Idrissa Gueye mengisi bahagian tengah dan Andre Onana mengemudi gawang.

Kalidou Koulibaly, Joel Matip, Serge Aurier dan Achraf Hakimi -- yang memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan -- membarisi bahagian pertahanan sambil pengendali Algeria, Djamel Belmadi, dinamakan selaku Jurulatih Terbaik Tahunan Afrika.


Editor: Nafis Abdullah