Mario Mandzukic kini dianggap hanya membilang harinya di Juventus selepas Maurizio Sarri mengesahkan penyerang itu tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang latihan melainkan situasi perpindahannya berubah.

Pemain berumur 33 tahun itu belum beraksi seminit pun dalam perlawanan kompetitif semenjak Sarri mengambil alih tugasan di Stadium Allianz itu selain namanya tercicir daripada senarai 22 pemain untuk menghadapi kempen Liga Juara-Juara (UCL).

AC Milan dikhabarkan telah menyertai Manchester United dalam perlumbaan mendapatkan khidmat pemain terpinggir Bianconeri itu yang dilaporkan sempat mengadakan perbincangan dengan kelab Qatar, Al Rayyan, bulan lalu.

Mandzukic dikatakan mahu menimbangkan pilihannya dan akur keputusan mengelakkannya daripada menyertai latihan dilakukan sebagai langkah bagi mengurangkan risiko kecederaannya.

Bagaimanapun, Sarri tidak menolak untuk membariskan pemain Croatia itu dalam skuadnya.

"Mandzukic tidak berlatih bersama kami atas kesepakatannya dengan kelab," kata pengurus Juve itu dalam sidang akhar semalam.

"Jika perjanjian itu berubah, saya terbuka untuk menerimanya kembali."

Pengurus berbangsa Itali itu juga akan kembali mempertaruhkan Danilo selepas pertahanan itu pulih daripada kecederaan paha ketika menyambut kunjungan Bologna.

Nama pemain tengah, Aaron Ramsey, juga tersenarai setelah mengatasi masalah kecil di bahagian otot yang menyebabkannya tersisih dalam tugasan bersama Wales.

Juve mengetuai Serie A hasil kemenangan 2-1 ke atas pencabar gelaran, Inter, sebelum perlawanan antarabangsa.

Kemenangan itu dilihat telah membuktikan corak permainan berkesan yang diterapkan bekas pengurus Napoli dan Chelsea itu, tetapi dia teragak-agak untuk memberi terlalu banyak penekanan hanya bersandarkan satu keputusan.

"Kemampuan saya sentiasa diragui, jadi ia tidak akan menjejaskan saya," katanya.

"Kedudukan dalam liga ketika ini tidak penting. Kami perlu menumpukan perhatian untuk mencari kesinambungan yang tepat daripada segi prestasi.

"Permainan menentang Inter itu adalah penting tetapi ia telah berlalu, jadi kami perlu memberi tumpuan kepada perlawanan yang berikutnya.

"Ia sentiasa sukar untuk kembali beraksi selepas rehat antarabangsa. Ia bukan mudah buat barisan pemain dan wujud risiko yang tinggi."