Al-Duhail mengesahkan telah menandatangani Mario Mandzukic daripada Juventus.

Pemain kebangsaan Croatia itu telah memenangi empat gelaran Serie A dan Coppa Italia tiga kali sepanjang empat setengah tahun di Turin.

Bagaimanapun, Mandzukic, yang dianggap pemain lebihan musim ini oleh pengendali Juve, Maurizio Sarri, gagal untuk membuat penampilan dalam kesebelasan utama dan diketepkan daripada skuad Liga Juara-Juara (UCL).

Sebelum ini, pemain berusia 33 tahun itu telah dikaitkan dengan Manchester United, namun dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke Qatar bagi meneruskan kariernya.

Ketika Juventus tidak segera mengumumkan penghijrahannya, Al-Duhail memuat naik gambar Mandzukic di laman twitter selepas menandatangani pemain itu.

Mandzukic merupakan watak penting ketika membantu Croatia ke final Piala Dunia dengan menjaringkan tiga kali sepanjang di Russia.

Sebelum menyertai Juventus, penyerang itu telah bersama Bayern Munich dan Wolfsburg dalam saingan Bundesliga di samping semusim bersama Atletico Madrid dalam LaLiga.