Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini, tidak sabar untuk bekerjsama dengan bintang meningkat naik, Sandro Tonali, menjelang aksi persahabatan Portugal dan Amerika Syarikat.

Pemain Brescia berusia 18 tahun itu dipanggil menyertai skuad kebangsaan Itali selepas memaparkan aksi memukau dalam saingan Serie B, musim ini.

Dia menjaringkan dua gol dalam 19 penampilan musim lalu selain turut meraih satu jaringan dalam 11 penampilan pertama musim ini.

Mancini gembira dengan kehadiran pemain itu yang dikatakan mampu membantu pasukannya memperbaiki prestasi selepas hanya meraih satu kemenangan daripada enam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah.

Apabila ditanya tentang Tonali, Mancini menjawab: "Saya mahu jelaskan di sini bahawa dia sememangnya seorang yang berbakat dan mampu berkembang dengan lebih baik.

"Saya mahu lebih mengenalinya dalam beberapa hari ini."

Kemenangan ke atas Poland menghidupkan peluang Itali untuk ke separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah dan Mancini mahu pasukannya itu mengekalkan prestasi itu ketika berdepan pendahulu Liga A Kumpulan 3, Portugal.

"Kami mahu mengekalkan prestasi seperti ketika menewaskan Poland," kata Mancini.

"Kami perlu meningkatkan pelbagai aspek terutamanya dari segi penyudah.

"Kami bersaing untuk memburu kedudukan teratas. Kemenangan sudah pasti menjadi objektif utama kami.

"Kami perlu bermain dengan baik untuk kembali memenangi hati peminat.

"Kami adalah Itali," katanya lagi.