Mancini: Pirlo bertuah tapi pilihan bijak buat Juventus

Oleh Muzaffar Musa 11 Ogos 2020 131
Mancini: Pirlo bertuah tapi pilihan bijak buat Juventus
Andrea Pirlo amat bertuah untuk memulakan karier kejurulatihannya di Juventus, kata Roberto Mancini, tetapi ketua jurulatih skuad kebangsaan Itali itu berasakan kelab berkenaan telah membuat keputusan yang bijak.

Pirlo dilantik sebagai ketua jurulatih Juventus, Sabtu lalu, beberapa jam selepas Maurizio Sarri dilucutkan jawatan.

Sarri membimbing Juve memenangi gelaran Serie A kesembilan berturut-turut tetapi gagal memperbaiki pencapaian mereka dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas disingkirkan Lyon dalam pusingan 16 Jumaat lalu.

Pelantikan itu merupakan kerjaya pertama Pirlo sebagai jurulatih dan Mancini berasakan legenda bola sepak Itali itu bertuah untuk menyandang jawatan berprofil tinggi berkenaan dan akan terbukti menjadi satu langkah yang amat bijak.

"Saya tidak menjangkakan Juventus akan tersingkir (daripada UCL)," kata Mancini kepada  La Gazzetta dello Sport. "Saya hampir pasti mereka akan mara.

"Tetapi ia amat malang, tidak dijangka dan musim yang sukar, terutama buat mereka yang melakukan perubahan seperti Juve. Sarri tidak dapat untuk membawa bola sepaknya.

"(Pirlo) amat bertuah. Dia bermula di atas dan bersama pasukan terbaik. Mungkin saya tidak bermula di bawah tetapi saya bermula dengan Fiorentina dan bukannya Juve.

"Jika saya mahu mencari jurulatih, saya akan mencari Andrea. Dia mempunyai ilmu tentang bola sepak. Sama seperti (Daniele) De Rossi. Saya amat gembira jika dapat bekerjasama dengannya.

"Akan sentiasa ada kali pertama. Andrea sudah memulakan laluannya. Ayuh mengikutinya. Selamat berjaya buatnya," katanya.
 
Dengan penyingkiran Juve dan Napoli dalam pusingan 16 UCL, satu--satunya wakil Itali yang masih bersaing dalam kejohanan itu adalah Atalanta.

Mereka akan berdepan Paris Saint-Germain (PSG) dalam suku akhir dan Mancini percaya Atalanta boleh bermain dengan keyakinan yang tinggi ketika berdepan juara Ligue 1 berkenaan.

"Ayuh bertenang dan berfikir mengenai PSG, yang merupakan pasukan hebat dan lebih berpengalaman.

"Mereka sudah pasti tidak berada di kemuncak prestasi kerana kehilangan (Edinson) Cavani, akan turun tanpa (Angel) Di Maria, (Marco) Verratti, (Kylian) Mbappe dan beberapa pemain yang masih belum pasti dapat diturunkan.

"Kejohanan mereka terhenti sejak Mac lalu tetapi dengan mengambil kira perkara itu, Atalanta berhak beraksi dalam suku akhir dengan keyakinan," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen