Roberto Mancini tidak pasti sama ada pihak lawan sudah mula berasa terancam dengan Itali menjelang Euro 2020, namun berasakan mereka mungkin mahu mengelak untuk bertemu pasukannya dalam kejohanan itu.

Pasukan itu melengkapkan saingan kelayakan Kumpulan J dengan rekod bersih selepas membelasah Armenia 9-1 di Palermo awal pagi tadi.

Ketika persembahan luar biasa itu meletakkan mereka selaku pasukan pilihan dalam kejohanan berkenaan, Mancini berasakan negara-negara lain lebih baik berbanding Itali.

"Saya tidak tahu sama ada mereka mula gusar atau tidak," katanya dalam sidang media.

"Saya fikir mereka lebih kuat kerana memiliki perancangan yang lebih maju.

"Perancis sudah memulakannya sejak beberapa tahun lalu, mereka mara ke final Euro dan menjuarai Piala Dunia.

"Mereka pasukan yang muda dan saya fikir mereka antara pasukan terkuat. Sepanyol juga begitu.

"Belgium dalam lima, enam tahun kebelakangan ini menghasilkan ramai pemain berbakat.

"Kemudian ada England.

"Kesemua pasukan itu sudah bermula lebih awal. Itali mempunyai sejarah yang hebat.

"Saya tidak fikir pasukan lain akan mengambil mudah perlawanan dengan Itali.

"Mungkin mereka tidak takut tetapi mungkin memilih untuk bertemu pasukan lain berbanding Itali," katanya.

Ciro Immobile dan Nicolo Zaniolo menghasilkan gol berganda ketika berdepan Armenia manakala Nicolo Barella, Alessio Romagnoli, Jorginho, Riccardo Orsolini dan Federico Chiesa turut berada dalam senarai penjaring.

Mancini memuji peningkatan pemainnya sambil berharap kecemerlangan itu dapat diteruskan dalam Euro 2020.

"Mereka pemain muda yang meningkat dalam setiap perlawanan. Beraksi di peringkat antarabangsa memberikan mereka pengalaman. Mereka mempunyai kualiti dan hanya masa yang akan menentukan," katanya kepada Rai Sport.

"Kita akan lihat apa yang akan berlaku dalam Euro 2020.

"Sebelum ini, kami tidak pernah memenangi kesemua 10 perlawanan peringkat kelayakan.

"Kami mempunyai enam bulan untuk bersedia menghadapi kejohanan itu tetapi malangnya, saya terpaksa meninggalkan beberapa pemain kerana hanya boleh membawa 23 daripada mereka.

"Jika kami dapat mengekalkannya seperti ini, ia pasti hebat," katanya lagi.

Undian pusingan akhir Euro 2020 akan berlangsung 30 November ini.