BOSNIA 0 ITALI 3

Roberto Mancini kagum menyaksikan Itali mencipta rekod baru ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas Bosnia-Herzegovina dalam saingan kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.


Francesco Acerbi, Lorenzo Insigne dan Andrea Belotti menemui sasaran buat skuad Azzurri itu yang sudah melayakkan diri ke Euro 2020 mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas sembilan perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan 10 kemenangan berturut-turut buat Itali -- rekod yang tidak pernah diraih oleh mana-mana pengendali juara dunia 2006 itu.

Kali terakhir menyaksikan Itali yang dibimbing Vittorio Pozzo pada 1938 hingga 1939, pencapaian yang menghadirkan kegembiraan buat ketua jurulatih, Mancini.

"Ia amat mengagumkan, kami telah mengatasi rekod yang sukar diatasi dan kejayaan ini menggembirakan saya," kata Mancini kepada Rai Sport.

"Saya telah menyaksikan persembahan yang cemerlang daripada Itali. Kami menjangkakan perlawanan yang sukar tetapi kami segera menemui jalan meledak gol."

Sepanjang saingan kelayakan, Mancini kerap melakukan pertukaran penyerang tengah dan kali ini, Belotti berjaya meledak gol berbanding Ciro Immobile.

"Jika mereka menjaringkan gol, ia sangat baik buat kami dan saya berharap Belotti dan Immobile dapat meneruskan rentak sehinggalah saingan Euro nanti," kata Mancini mengenai penyerangnya.

Mancini turut mengenal pasti kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan itu dengan berkata, "Kami terlalu banyak bertahan. Apabila anda mula kepenatan, anad harus menyelindungkannya. Jika tidak, anda mungkin membenarkan lawan untuk mengejar permainan."