Pengendali Itali, Roberto Mancini, berharap aksi bola sepak dalam negara itu dapat kembali secepat mungkin.

Seperti kejohanan utama lain di seluruh dunia, Serie A juga ditangguhkan dalam usaha memerangi wabak coronavirus tatkala utara Itali teruk dilanda virus itu.

Mancini kini di landasan terbaik untuk mengemudi The Azzurri menuju Euro 2020 pada Jun depan tetapi kejohanan itu ditangguhkan 12 bulan lagi.

Bekas pengurus Inter Milan dan Manchester City itu percaya acara sukan boleh bertindak sebagai pemangkin sosial kepada sesetengah tempat yang teruk dilanda wabak itu sejak beberapa minggu lalu.

"Ia sesuatu yang buruk buat kebanyakan keluarga yang kehilangan insan tersayang," katanya.

"Saya harap segalanya kembali seperti biasa. Saya dengar beberapa pemain berada dalam keadaan baik dan berharap dapat kembali secepat mungkin.

"Saya harap ia bermula kerana bola sepak juga merupakan aspek sosial yang penting, kemudian lihat apa akan berlaku.

"Saya juga malapetaka ini akan tamat lebih cepat. Ia memerlukan lebih perhatian tetapi kami berhak meraih kehidupan sebelum ini. Apa yang berlaku merupakan sesuatu yang tidak adil."

Saingan Serie A ditangguhkan ketika perebutan saingan kejuaraan liga tatkala juara bertahan, Juventus, mendahului Lazio dengan satu mata ketika aksi berbaki 12 perlawanan.

Mancini percaya jadual tidak menentu dan rehat panjang akan membawa kepada ketidakstabilan jika saingan diteruskan sekali gus menolak bekas majikannya, Inter, serta Atalanta tidak mampu mencabar.

"Saya fikir apa sahaja boleh berlaku kerana tidak berlaku situasi begini," tambah Mancini.

"Sukar untuk membuat ramalan. Juve menduduki tangga teratas dan masih terkuat tetapi apa sahaja boleh berlaku.

"Inter juga mampu mencabar, sama seperti Atalanta. Apabila berehat panjang, ia mampu mengubah segalanya."