ITALI 1 UKRAINE 1

Pengendali Itali, Roberto Mancini, mendedahkan dia mula berasa bosan selepas kemarau kemenangan yang dihadapi pasukannya berlanjutan kepada lima perlawanan selepas aksi berdepan Ukraine di Stadio Luigi Ferraris, Genoa, awal pagi tadi.


Jaringan Federico Bernardeschi pada minit ke-55 dipadamkan oleh Ruslan Malinovskiy sehingga menyebabkan Itali sekadar mencatat keputusan seri 1-1.

Mancini memulakan khidmat bersama Itali dengan kejayaan menundukkan Arab Saudi 2-1, Mei lalu, tetapi sejak itu, skuad Azzurri gagal mencatat kemenangan sehingga membuatkan bekas pengurus Inter Milan itu mula kecewa tatkala tekanan kian memuncak buatnya.

"Saya bosan gagal catat kemenangan dan begitu juga dengan orang ramai," kata Mancini.

"Perkara positif yang dapat dilihat adalah pasukan mempamerkan aksi bola sepak yang bagus dalam tempoh yang lama.

"Ia adalah aksi persahabatan, jadi diharapkan kami akan mula menang dalam perlawanan Ahad ini. Jelas sekali peminat kecewa apabila pasukan mereka gagal menang tetapi kami tidak boleh mendengar cemuhan.

"Jika kami menjaringkan gol lagi, semua orang akan gembira dengan prestasi kami. Saya rasa ia adalah mengenai keputusan."

Itali hanya mencatat satu kemenangan dalam 10 perlawanan sebelum ini dan Mancini menambah: "Kami perlu lebih tajam apabila berpeluang untuk menyumbat gol kerana ia akan memberikan anda kemenangan.

"Kami bergelut untuk mendapatkan pendahuluan walaupun mencipta banyak peluang tatkala Ukraine menyumbat gol dalam percubaan kedua.

"Malangnya, itu yang berlaku dan kami perlu memperbaikinya."

Itali kini menumpukan perhatian terhadap aksi Liga Negara-Negara UEFA berdepan Poland di Chorzow.

"Kami perlu membina sesuatu yang positif daripada aksi hari ini. Hanya ada empat hari dan kami juga perlu terbang ke sana, jadi pemain perlu segera pulih."