Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United perlu lebih klinikal ketika dia menyasarkan final pertama musim ini dalam Liga Europa.

United tewas dalam separuh akhir Piala EFL dan Piala FA musim 2019-20 dan kini melangkah ke peringkat sama dalam liga kedua peringkat Eropah itu selepas menewaskan Copenhagen 1-0 dalam masa tambahan di Cologne awal pagi tadi.

Skuad kendalian Solskjaer itu memerlukan masa tambahan untuk mengesahkan kemenangan dalam peringkat suku akhir ke atas lawan dari Denmark itu dengan Bruno Fernandes menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-95.

Tetapi United -- yang menjuarai Liga Europa pada 2017 -- mempunyai deretan peluang dengan dua daripadanya terkena tiang, dua lagi dibatalkan kerana ofsaid selain 13 percubaan lain yang diselamatkan penjaga gol Copenhagen, Karl-Johan Johnson.

"Kami perlu berdisiplin, kami perlu bersabar dan pada akhirnya, kesabaran itu berhasil buat kami," kata pengurus itu kepada UEFA.com.

"Kami mencipta peluang yang mencukupi untuk memenangi perlawanan ini.

"Kami beberapa kali menggegarkan tiang dan tidak bernasib baik dengan beberapa keputusan VAR (video bantuan pengadil).

"Ia keputusan yang tepat tetapi kami perlu lebih baik dalam jangkaan larian kami dan perkara seperti itu.




"Kami perlu memperbaiki banyak aspek. Tetapi jika anda mencipta banyak peluang seperti yang kami lakukan hari ini, kami mahu lebih klinikal dan efisien dan menjaringkan gol apabila berpeluang.

"Walaupun kami mencipta peluang yang hebat, adakalanya ia kelihatan seperti pemain kami mahu membawa bola melepasi garisan (gol).

"Tetapi sentiasa ada pertahanan dan penjaga gol, yang mungkin adalah pemain terbaik perlawanan hari ini," katanya.

Dengan seteru Liga Perdana Inggeris, Wolves, atau wakil LaLiga, Sevilla, akan menanti mereka dalam separuh akhir, Solskjaer menambah: "Saya gembira apabila kami sekali lagi ke separuh akhir. Kami ke separuh akhir bagi semua kejohanan yang kami sertai musim ini.

"Kini masanya untuk mengambil langkah seterusnya dan ke final dan harap-harap kami dapat memenanginya."