Dayot Upamecano mengakui dia sedang berbincang bersama beberapa kelab selepas menandatangani kontrak baru bersama RB Leipzig selepas dikaitkan dengan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United.

United dilaporkan meletakkan sasaran untuk menandatangani pertahanan Leipzig, Upamecano, yang telah dikaitkan dengan Real Madrid, Bayern Munich dan Arsenal.

Pertahanan berusia 21 tahun itu telah melanjutkan kontraknya bersama Leipzig pada penghujung Julai, mengikatkan bersama kelab Bundesliga itu sehingga 2023.

Bakal membuat penampilan pertama bersama skuad Perancis ketika juara dunia itu membuat persiapan berdepan Sweden dalam aksi Liga Negara-Negara (UEFA), Upamecano memperjelaskan mengenai spekulasi tersebut.

"Saya melanjutkan kontrak dengan Leipzig kerana saya berasa baik dengan rakan sepasukan," kata Upamecano.

"Jurulatih saya memberi saya keyakinan. Dia juga belajar, tetapi dia memberi saya keyakinan dan itu meningkatkan tahap saya.

"Saya telah berada di Leipzig lebih dari tiga tahun, saya berasa seronok. Saya telah mendapat permintaan, saya bercakap dengan beberapa kelab, memang benar, tetapi saya tidak terburu-buru.

"Kami akan melihat apa yang berlaku pada masa akan datang."



Upamecano telah meraih ramai peminat selepas membantu Leipzig melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain skuad Perancis itu paling berkesan ketika menyingkirkan Atletico Madrid dalam suku akhir, menghalang pergerakan Diego Costa dan Alvaro Morata.

"Sememangnya apabila anda beraksi di pentas UCL, status anda akan berubah, terutama sekali ia adalah separuh akhir pertama buat Leipzig. Kami mencipta sejarah," katanya.