Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, berpuas hati apabila pasukannya mampu menterjemahkan taktikal yang dimahukannya dalam masa singkat sehingga melakar kemenangan 4-0 ke atas Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini.

Malaysia menghasilkan gol seawal minit kedua menerusi Muslihuddin Atiq Mat Zahid.

Rentak cemerlang itu diteruskan Fahmi Daniel Mohd Zaaim yang menambah jaringan itu pada minit ke-29 sebelum Muslihuddin Atiq menjaringkan gol kedua peribadi empat minit kemudian.

Faris Kamrdin kemudian melengkapkan keputusan perlawanan itu pada minit ke-69.

"Pemain benar-benar cuba menerapkan apa yang kami usahakan dalam latihan.

"Saya dapat lihat banyak tanda-tandanya.

"Bagi saya, ia sesuatu yang baik.

"Sesiapa sahaja boleh menembusi pasukan ketika kami mengumumkannya nanti.

"Bagi saya, pemain sedang mencari penyelesaian mereka sendiri ," katanya.

Begitupun, Maloney mahu pasukannya fokus untuk menghadapi aksi persahabatan kedua menentang Taiwan di venue sama esok sebelum mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang akan dibawa ke pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Phnom Penh, Kemboja awal bulan depan.

"Kami akan menilai pemain mengenai apa-apa kecederaan atau yang sepertinya.

"Kami akan melihatnya selepas kami pulang malam ini untuk mereka memulakan sesi pemulihan pagi esok.

"Kami akan membuat keputusan itu selepas perlawanan yang seterusnya," tambahnya.