Ketua jurulatih pasukan B-19 negara, Brad Maloney, menyifatkan kelibat Luqman Hakim Shamsudin yang membuat penampilan sulung bersama KV Kortrijk sebagai langkah pertama yang menarik.

Luqman Hakim dimasukkan sebagai gantian dan membantu skuad Yves Vanderhaeghe itu meraih gol saguhati ketika tumpas 1-3 kepada RSC Anderlecht, kelmarin.

Penyerang skuad B-19 negara itu berpeluang menyerlahkan potensinya selepas mula mencipta impak bersama skuad remaja sebelum terpilih untuk menampung masalah kecederaan skuad berkenaan.

"Dia memberi sumbangan yang sangat baik di tahap perlawanan tinggi seperti itu.

"Dia memang patut berasa gembira, ia mengagumkan.

"Biasalah kalau dia berasa gemuruh, lagipun dia masih muda, dia memerlukan masa dan akan semakin matang.

"Dia pasti bakal bertambah baik," katanya ketika ditemui di Wisma FAM oleh wakil Astro Arena, Syakirah Zulkifly, hari ini.

Another debut boy! Keep working hard Luqman! ??? ?⚪️ #TheJourneyOfLuqie #KVKAND

Posted by KV Kortrijk on Saturday, October 24, 2020


Pengendali kelahiran Australia itu juga merancang untuk memanggil sesi latihan pusat sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang tamat 9 November depan.

Masa semakin suntuk buatnya merencana pasukan ampuh untuk menghadapi pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan yang ditunda dan dijangka akan diadakan awal 2021.

Kejohanan itu dianggap misi penting kerana menawarkan tiket ke Piala Dunia B-20.

"Sebenarnya saya sudah mahu memulakan persiapan tetapi berdepan kekangan keadaan semasa akibat COVID-19.

"Saya harap dapat memanggil mereka untuk menjalani latihan pusat secepat mungkin.

"Saya mahu memantapkan persiapan kami di samping tonggak utama, lebih-lebih sudah sekian lama mereka tidak berkumpul."