CULTURAL LEONESA 0 BARCELONA 1

Penyerang Barcelona, Malcom, menyatakan bahawa dia tidak pernah terfikir uintuk meninggalkan juara LaLiga, Barcelona.


Pemain berusia 21 tahun itu disenaraikan selaku kesebelasan utama buat kali pertama sejak menyertai Barca daripada Bordeaux, Julai lalu, dalam perlawanan yang menyaksikan skuad Catalan itu menewaskan Cultural Leonesa dalam aksi Copa del Rey, awal pagi tadi.

Aksi di Leon menyaksikan Barca meraih satu gol laman lawan menjelang aksi kedua peringkat 32 terbaik menerusi jaringan Clement Lenglet dalam masa kecederaan.

Malcom digantikan dengan Arthur pada minit ke-80 dan pemain Brazil itu hanya beraksi selama 25 minit menerusi dua penampilan sebagai pemain gantian dalam perlawanan terdahulu.

Menerusi sebuah kenyataan dalam laman sosial miliknya, Malcolm menafikan bahawa dia akan meninggalkan skuad kendalian Ernesto Valverde itu.

"Berkenaan dengan beberapa laporan yang diterbitkan di Sepanyol baru-baru ini, saya ingin menjelaskan bahawa saya datang ke Barcelona dengan pelbagai objektif dan setiap yang mengenali saya pasti tahu bahawa saya seorang yang mempunyai keazaman tinggi," katanya dalam laman Instagram sebelum perlawanan.

"Saya berpuas hati dengan evolusi dalam karier saya dan impian saya semakin menjadi realiti dari hari ke hari.

"Keluarga saya juga sudah menyesuaikan diri dengan bandar ini.

"Kesimpulannya, Saya akan terus berusaha untuk mengecapi semua yang saya inginkan dalam karier saya."