Tiada acara bola sepak dalam Sukan SEA 2017 sekiranya skuad Harimau Malaysia menarik diri daripada Piala Suzuki AFF 2016 yang sedang berlangsung di Yangon, Myanmar.

Skuad negara digesa oleh beberapa pihak tertentu untuk menarik diri daripada kejohanan tersebut.

Ia sebagai tanda protes berhubung isu Rohingya di negara itu hingga usul itu dibawa ke Kabinet untuk ditentukan dalam mesyuaratnya esok.

Cadangan itu, bagaimanapun, dibidas oleh Setiausaha Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Datuk Azzudin Ahmad, hari ini.

"Jika Malaysia menarik diri, mereka tidak akan dibenarkan menganjurkan sebarang acara bola sepak, termasuk acara bola sepak bagi Sukan SEA 2017.

"Banyak implikasinya jika Malaysia berbuat demikian," tegasnya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menegaskan skuad bola sepak negara tidak akan menarik diri.

"Pertamanya, saya perlu menyatakan FAM tidak akan menarik diri daripada Piala Suzuki AFF 2016.

"Keduanya, saya perlu tekankan di sini bahawa semua persatuan yang merupakan ahli FIFA dan AFC tidak boleh mencampur-adukkan isu politik, perkauman dan sebagainya dengan bola sepak."

Anda juga boleh mendapat berita ini melalui Stadium Astro app. Muat turun sekarang https://www.stadiumastro.com/ms/mobile-app