Malaysia tidak berganjak dengan keputusan untuk beraksi di gelanggang berkecuali menentang Korea Utara pada 8 Jun ini dengan menegaskan situasi geo-politik yang masih tegang di Pyongyang tidak selamat untuk perlawanan dilangsungkan.

Keputusan itu dicapai menerusi perbincangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali.

Turut sama dalam mesyuarat itu ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dan Ssetiausaha Bahagian Asia Timur,Kementerian Luar Negara, Datuk S. Ganeson.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lepas telah meminta Kementerian Luar untuk memantau situasi politik di antara Korea Utara dan negara-negara lain sebelum menentukan venue perlawanan Malaysia dan Korea Utara.

Maklum balas daripada Kementerian Luar telah membawa kepada persetujuan untuk meneruskan perlawanan di gelanggang berkecuali susulan ketegangan yang semakin meruncing di Pyongyang.

Keputusan ini akan dimaklumkan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk tindakan selanjutnya.