Kejayaan Malaysia merentap ego Thailand dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan Kumpulan G, pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam terpaksa dibayar dengan harga mahal.

Skuad negara akan kehilangan khidmat Matthew Davies dan Syafiq Ahmad dalam perlawanan menentang Indonesia di venue sama Selasa ini.

Biarpun mencipta sensasi dengan menamatkan rekod tanpa kalah skuad Gajah Perang itu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, terpaksa menelan hakikat bahawa Davies dan Syafiq tidak akan dapat diturunkan dalam perlawanan berikutnya gara-gara penggantungan perlawanan.

Kedua-dua pemain itu sebelumnya dilayangkan kad kuning ketika bertandang ke Vietnam bulan lalu.

Mereka sekali lagi dilayangkan kad kuning semalam, sekali gus akan menjalani penggantungan satu perlawanan.

Justeru, Cheng Hoe perlu mencari pengganti yang sesuai untuk menampung kekosongan yang ditinggalkan kedua-dua pemain itu.

"Saya bersimpati dengan Syafiq Ahmad, dia bermain dengan amat baik.

"Kerana layangan kad kuning, dia tidak dapat beraksi menentang Indonesia.

"Pada masa sama, Matt Davies juga sudah dua kali dilayangkan kad kuning.

"Sebagai jurulatih, saya akan mencari penyelesaian terbaik untuk berdepan Indonesia.

"Seperti yang kita tahu, Indonesia sudah melakukan persiapan lebih awal.

"Jadi, kami perlu serius dan fokus untuk menghadapi mereka," katanya.

Dengan kekalahan di Stadium Nasional itu, kem Thailand jelas sugul dan jurulatihnya, Akira Nishino, menerima tamparan hebat gara-gara percaturan berisiko yang dilakukannya dengan membuat rombakan pada saat-saat akhir di jentera pertahanan.

Elias Dolah, Tristan Do dan Korakod Wiriyaudomsiri menjadi pilihan jurulatih itu, namun gagal memenuhi tuntutan untuk mengekang asakan skuad negara.

Dalam masa sama, Nishino menolak dakwaan bahawa faktor rumput di Stadium Nasional mendatangkan masalah buat pasukannya.

"Rumput di sini agak berbeza, namun ia bukan alasan kerana kami mendahului.

"Cuma, kesilapan pertahanan menjadi punca kami dibolosi," katanya.