MALAYSIA 4 INDONESIA 1

Skuad bola sepak B-19 kebangsaan meraih kemenangan ketiga dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC selepas menewaskan Indonesia 4-1 dalam aksi ketiga Kumpulan F di Stadium Paju Public, sebentar tadi.


Malaysia yang turun dengan misi wajib memungut tiga selepas sekadar menang tipis 1-0 ke atas Brunei, Sabtu lalu, ternyata garang apabila membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti penyerang Johor Darul Ta'azim II (JDT II), Muhammad Hadi Fayyadh, pada minit ketujuh perlawanan.

Pemain muda Kedah, Muhammad Akhyar Rashid, melebarkan kedudukan buat skuad kendalian Bojan Hodak pada minit ke-33, apabila menyambut baik hantaran dari sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan leret untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Kesilapan penjaga gol negara yang gagal menangkap bola dengan kemas membolehkan penyerang Indonesia, Hanis Saghara Putra, menjaringkan gol untuk merapatkan jurang sebelum menuju waktu rehat.

Malaysia hanya memerlukan dua minit ketika babak kedua bersambung untuk menambah gol ketiga menerusi Shivan Pillay Asokan yang menanduk masuk bola hasil sepakan sudut dari sebelah kiri untuk kembali menjarakkan kedudukan 3-1.

Kelincahan Akhyar jelas memberikan masalah besar buat anak buah Indra Syafri sehingga memaksa pertahanan Indonesia menjatuhkan pemain berusia 18 tahun itu di dalam kotak penalti, membolehkan Hadi menambah gol kedua peribadi dan keempat buat skuad negara pada minit ke-52.

Kedudukan 4-1 kekal sehingga wisel penamat, yang mencerahkan laluan Malaysia untuk ke pusingan akhir pada tahun depan.

Sekiranya Malaysia berjaya menundukkan Korea Selatan pada Rabu ini, mereka akan menempah tiket automatik ke pusingan akhir dan jika tewas, anak-anak buah Hodak masih berpeluang untuk beraksi di Indonesia pada 2018 sekiranya tersenarai dalam kelompok lima pasukan terbaik dengan status naib juara daripada 10 kumpulan kelayakan.