Jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, mengesahkan perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea pada 14 November ini akan berlangsung pada jam 3 petang di Stadium Shah Alam.

Perlawanan itu antara persediaan awal skuad negara untuk menghadapi aksi pada waktu yang sama dalam Kejohanan Piala AFF Suzuki dari 19 November hingga 17 Disember ini.

Selain berentap dengan lawan yang memiliki persiapan yang lebih rapi, skuad negara juga akan berdepan cabaran beraksi dalam cuaca panas.

Dua perlawanan pertama skuad negara di Yangon nanti diadakan pada jam 3 petang, sekali gus memaksa Kim Swee merencanakan persediaan terbaik terhadap anak buahnya.

“Kami akan memulakan latihan seawal pukul 3 petang bagi membiasakan diri dengan waktu perlawanan Piala AFF Suzuki nanti,” kata Kim Swee.

Skuad negara meneruskan latihan hari ini tanpa kelibat empat pemain Kedah yang diberikan pelepasan untuk sambutan kemenangan Piala Malaysia 2016 di Alor Setar.

Mereka akan melaporkan diri malam ini manakala empat pemain Selangor, Hazwan Bakri, Shahrom Kalam, S. Veenod dan Khairul Azhan Khalid sudah menyertai pasukan.

Skuad Harimau Malaysia akan mengikuti kem bina semangat di Port Dickson bermula esok.

“Seperti dalam perancangan saya, saya berharap selepas kami pulang dari Port Dickson nanti, kami dapat menjalankan latihan berunsur taktikal.”

Lapan pasukan dari rantau Asia Tenggara akan berentap dalam Piala AFF Suzuki yang berlangsung di Filipina dan Myanmar dari 19 November hingga 17 Disember ini.