Sergio Ramos menyifatkan kejayaan Sepanyol menundukkan Malta 7-0 sebagai "malam yang sukar untuk dilupakan" apabila bintang Real Madrid itu meraih penghormatan istimewa di Cadiz.

Ramos mengetuai skuad kendalian Robert Moreno itu untuk menang di Estadio Ramon de Carranza bagi menjamin kedudukan teratas Kumpulan F saingan kelayakan Euro 2020.

Jaringan dalam separuh masa pertama daripada Alvaro Morata dan Santi Cazorla meletakkan Sepanyol di landasan untuk meraih tiga mata sebelum lima gol yang dilakar pada 45 minit seterusnya, dengan Pablo Sarabia, Gerard Moreno dan Jesus Navas memahat nama selaku penjaring di samping gol sulung daripada pemain muda, Pau Torres dan Dani Olmo.

Ramos bangga selepas sepak mula apabila menerima penghormatan di atas khidmatnya untuk La Roja.

Pemain berusia 33 tahun itu menyatakan ia adalah malam yang sukar untuk dilupakan dalam aksi yang ke-169 bersama skuad kebangsaan.

"Kemenangan ini adalah hadiah terbaik untuk saya. Ia merupakan malam terbaik bagi skuad kebangsaan," katanya.

"Malta bertahan pada permulaan permainan. Kami mengikut setiap perancangan jurulatih, menyerang menerusi sayap dan berjaya membuka ruang untuk menghasilkan jaringan.

"Saya sangat gembira di atas jaringan, penampilan sulung beberapa pemain serta kelayakan pasukan ke Euro 2020."

Sepanyol bakal menamatkan saingan kelayakan berdepan Romania di Wanda Metropolitano, Isnin ini.