Maghribi layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998 selepas menewaskan pencabar terdekat dalam Kumpulan C, Ivory Coast, 2-0 dan Tunisia turut mengikut jejak langkah mereka apabila seri 0-0 dengan Libya.

The Atlas Lions yang beraksi di Abidjan hanya memerlukan keputusan seri dalam aksi terakhir tetapi mereka mempamerkan aksi yang cemerlang.

Nabil Dirar memberikan pasukan pelawat gol pendahuluan pada minit ke-25 apabila pemain sayap itu berjaya melepasi barisan pertahan sebelum melakukan rembatan menewaskan penjaga gol, Sylvain Gbohouo.

Lima minit kemudian, pertahanan Juventus, Medhi Benatia menggandakan jaringan buat skuad kendalian Herve Renard -- pengurus yang berjaya menamatkan kemarau Ivory Coast untuk muncul juara Piala Negara-Negara Afrika pada 2015.

Pasukan tuan rumah menggandakan asakan mereka sepanjang perlawanan tetapi Maghribi tenang mengawal tempo sehingga tamat perlawanan.

Tunisia, yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mengatasi DR Congo, menyaksikan misi mereka berjaya apabila seri tanpa jaringan ketika bertemu Libya.

Ia bukan perlawanan yang terbaik tetapi mereka berjaya memastikan satu mata diraih dan bakal beraksi di Russia tahun depan.

Tunisia kembali beraksi dalam Piala Dunia sejak 2006 di Jerman, dengan menyertai Maghribi, Mesir, Senegal dan Nigeria sebagai lima wakil negara Afrika ke Russia.