Fabio Cannavaro percaya Real Madrid memerlukan Kylian Mbappe supaya pemain itu dapat mengikut jejak Cristiano Ronaldo, namun berasakan amat sukar untuk menandatangani bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu.

Mbappe, 21, terus dikaitkan dengan perpindahan ke Madrid selepas membintangi tiga musim terakhir PSG.

Madrid pula kelihatan sukar untuk menemui pengganti Ronaldo, yang meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Juventus pada 2018.

Cannavaro, yang memenangi dua kejuaraan LaLiga sewaktu bergelar pemain Madrid, berkata Mbappe merupakan pemain yang diperlukan kelab itu untuk meneruskan apa yang telah dilakukan Ronaldo.

"Real Madrid memerlukan pemain seperti Mbappe, bintang muda yang boleh mengikut jejak Ronaldo," kata jurulatih Guangzhou Evergrande itu kepada AS.

"Ia perkara normal jika Madrid mahu menandatanganinya tetapi kita juga perlu mengambil kira bahawa pemilik PSG tidak memerlukan wang itu.

"Impian dan apa yang mereka mahukan adalah memenangi Liga Juara-Juara.

"Saya fikir pasti sukar untuk Madrid mendapatkannya. Pemilik PSG adalah seseorang yang mahukan kemenangan, saya amat mengenali mereka dan mereka akan berjuang untuk mengekalkan Mbappe," katanya.

Mbappe memenangi tiga gelaran Ligue 1 selain kejuaraan Coupe de France dan Coupe de la Ligue bersama PSG.

Dia menjaringkan 30 gol daripada 33 penampilan sebelum musim ini dibatalkan gara-gara pandemik Covid-19.