REAL MADRID 0 ATHLETIC BILBAO 0

Zinedine Zidane berkata Real Madrid sama sekali tidak akan menandatangani penyerang baru bulan depan biarpun memaparkan aksi longlai ketika berdepan Athletic Bilbao.


Madrid gagal menjaringkan sebarang gol dalam dua perlawanan berturut-turut selepas terikat 0-0 dengan Bilbao dalam perlawanan LaLiga di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.

Percubaan Toni Kroos dan Nacho sekadar menggegarkan palang sebelum waktu rehat dan usaha pemain gantian, Luka Jovic, turut berakhir di tiang gol pada empat minit terakhir.

Karim Benzema menggalas bebanan selaku penjaring gol Madrid dengan dia telah menghasilkan 12 gol dalam LaLiga dan 16 dalam kesemua kejohanan manakala pelaburan besar musim ini, Jovic, hanya sekali menemui sasaran sejak tiba daripada Eintracht Frankfurt.

Bagaimanapun, pengurus Madrid, Zidane, menolak segala kemungkinan untuk memperkuatkan barisan serangan skuad Los Blancos itu demi merampas kejuaraan LaLiga daripada Barcelona musim ini.

Ditanya sama ada dia akan akan mencari penyerang baru atau tidak, Zidane membalas: "Tidak. Sama sekali tidak. Saya tidak nampak sebarang keperluan untuk menandatangani penyerang baru."

Keputusan seri dengan Bilbao itu merupakan kali kelima Madrid gagal menjaringkan sebarang gol dalam LaLiga musim ini.

Skuad kendalian Zidane itu kini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Barcelona, menjelang 2020.

"Saya sudah sakit hati dengannya.

"Pemain saya telah memberikan segala-galanya di atas padang.

"Saya melihat kepada sudut positif dan perkara baik yang telah kami lakukan.

"Tiga daripada sembilan mata (yang ditawarkan dalam tiga perlawanan) tidak banyak.

"Seperti biasa, apabila kami bermain seperti ini dan memperoleh peluang (untuk menjaringkan gol), saya sakit hati untuk pemain.

"Dengan usaha yang kami berikan, kami sakit hati apabila tidak menjaringkan gol dengan peluang yang kami dapat.

"Jika anda memperoleh peluang, anda perlu menjaringkannya.

"Dan kami menguasai bola dalam tiga perlawanan terakhir tetapi tidak banyak menjaringkan gol.

"Kami mencipta banyak peluang tetapi ia tidak masuk.

"Tetapi kami tidak boleh mengalah, kami perlu memikirkan bahawa ia tahun yang baik.

"Kami menamatkan tahun ini dengan agak hambar tetapi kami sedang menantikan permulaan 2020.

"Saya tidak fikir ia satu masalah tetapi setiap orang mempunyai pendapat tersendiri.

"Kami masih tenang. Apa yang kami lakukan sepanjang empat atau lima bulan lalu amat baik," katanya.