CLUB BRUGGE 1 REAL MADRID 3

Zinedine Zidane berseloroh dengan berkata pasukannya, Real Madrid, tidak akan menghadapi masalah untuk menyingkirkan juara bertahan, Liverpool, dalam pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah.


Pasukan gergasi LaLiga itu telah mengesahkan tempat dalam pusingan itu sebelum menewaskan Club Brugge 3-1 di Jan Breydelstadion awal pagi tadi dan boleh menumpukan terhadap undian pusingan berikutnya Isnin ini.

Hans Vanaken memadamkan jaringan pembukaan Rodrygo Goes yang hanya berselang dua minit dalam separuh masa kedua tetapi gol pertama Vinicius Junior dalam Liga Juara-Juara Eropah dan penyudah gemilang Luka Modric memastikan tiga mata buat skuad kendalian Zidane itu.

Madrid menamatkan saingan selaku naib juara Kumpulan A, lima mata di belakang Paris Saint-Germain (PSG), dan akan bertemu juara kumpulan lain dengan pasukan kendalian Jurgen Klopp, Liverpool, berpotensi menjadi lawan mereka dalam pusingan 16.

Ditanya sama ada skuad The Reds itu mahu dielakkan dalam pusingan 16 atau tidak, Zidane hanya tersenyum dan menjawab: "Jika kami bertemu Liverpool, kami akan menyingkirkan mereka."

Dengan lebih tenang, dia menambah: "Kami tidak boleh berbuat apa-apa dengan undian."

Madrid beraksi di bawah tahap sebenar ketika di Belgium tetapi Zidane menegaskan dia berpuas hati dengan persembahan pasukannya.

"Kami gembira dengan kemenangan ini dan dengan cara kami bermain.

"Kami berdepan kesukaran dengan permainan kami memandangkan mereka lebih gemar menggunakan lima pemain pertahanan tetapi hari ini, mereka menggunakan empat.

"Ia memerlukan 10 hingga 15 minit untuk pemain membiasakan diri.

"Aksi dalam separuh masa kedua lebih baik daripada setiap sudut," katanya.

Luka Jovic terpilih untuk membarisi jentera serangan bersama Rodrygo dan Vinicius tetapi dia sekali lagi gagal menyerlah.

Setakat ini, dia hanya menjaringkan satu gol buat Madrid sejak berpindah daripada Eintracht Frankfurt dan Zidane mengakui penyerang itu memerlukan lebih waktu permainan untuk mendapatkan rentak sebenar.

"Saya tidak rasa dia sedang buntu," tambah jurulatih berbangsa Perancis itu.

"Dia tidak banyak diturunkan dan setiap pemain perlu beraksi lebih banyak untuk menjadi bagus.

"Saya fikir dia telah melakukannya dengan baik dan perlu meneruskan apa yang sedang dilakukannya."