Tahap kesabaran bekas pemain Macerra United dan Kuantan FA sudah hampir ke penghujung, tiga tahun menunggu maklum balas daripada pihak pengurusan terdahulu hanya di pandang sepi.

Tempoh 14 hari diberikan bermula esok dan jika masih tiada jawapan isu gaji tertunggak akan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

"Terdapat perkara yang berlaku tanpa pengetahuan umum, terdapat tiga atau pemain yang bercerai-berai, dihalau dari rumah ekoran isu yang telah berlaku ini," kata bekas jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria.

"Saya telah berusaha membantu pemain-pemain daripada segi kewangan kerana mahu menyara hidup dan keluarga jadi kami mengambil khidmat peguam bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dan kami mahu berjuang habis-habisan."

Inilah situasi sebenar yang dihadapi pemain kedua-dua pasukan ini.

Sehingga membawa kepada kegagalan dalam karier selain hal peribadi juga terjejas.

Isu tersebut sudahpun diputuskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di mana pihak pengurusan perlu membayar jumlah tertunggak atau sekurang-kurangnya memberi maklum balas.

Penantian memasuki tahun ketiga, 21 pemain dan lima pegawai Macerra United dan 26 pemain serta tujuh pegawai daripada Kuantan FA berasa teraniaya dengan apa yang berlaku.

"Pihak yang bertanggungjawab mempunyai tempoh selama 14 hari untuk memberikan maklum balas serta menyelesaikan perkara ini dengan secara baik dan jika tidak, tindakan itu akan melayakkan kami untuk menuntut jumlah gaji bagi keseluruhan seperti dipersetujui melalui prosiding di mahkamah sivil," kata Peguam yang dilantik, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak.

Tiga nama telah disebut sebagai individu yang perlu bertanggung jawab dengan isu ini.

Mereka ialah bekas presiden Macerra, Datuk Seri Mohamad Firdaus Kamaruddin, Bekas Setiausaha Agung, Husfenny Hussin dan bekas bendahari, Kamarul Ariffin Barnot.

Dalam masa sama pihak yang perlu bertanggungjawab bagi Kuantan masih dalam siasatan dan carian pihak peguamcara.

"Sangat terasa kerana ia adalah tunggakan gaji selama enam bulan hingga memberikan impak kepada pemain," kata bekas pemain, Abdul Hadi Yahya.

"Hampir tiga tahun kes ini masih belum selesai dan kes-kes pasukan lain juga masih ada. Saya berharap ia dapat diselesaikan dan persatuan tidak boleh mengambil mudah kerana ini seperti menganiaya pemain," kata bekas pemain, Abdul Ghani Abdul Rahman.

"Ramai antara kami yang terpaksa menempuh keadaan seperti melakukan pinjaman dengan sedikit atau tanpa kaedah untuk melunaskannya dan juga yang terpaksa menyaksikan kenderaan sendiri disita kerana tidak mampu membuat bayarn yang diperlukan," kata bekas pemain, Izer Hamkha Mohd Haizal.