Macau layak ke perlawanan akhir Piala Solidariti AFC 2016 setelah menundukkan Brunei Darussalam menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 di Stadium Sarawak, Kuching malam tadi.

Mereka menang setelah penjaga gawang, Ho Man Fai, berjaya menampan tendangan kurang bertenaga Rosmin Mohd Kamis manakala tendangan terakhir Mohd Maududi Hilmi Kasmi tersasar keluar.

Bagaimanapun, wira sebenar pasukan itu ialah penyerang berbisanya, Nicholas Mario Tarrao.

Kemasukan Tarrao, yang baharu kembali ke Kuching awal pagi tadi, setelah pulang ke tanah airnya pada 6 November lalu, untuk beraksi pada babak kedua ternyata mengubah corak permainan Macau.

Brunei tampak mendominasi pada 45 minit pertama apabila sering kali merencanakan serangan-serangan berbahaya menerusi Faiq Jefri Bolkiah dan Mohammad Shah Razen Said.

Faiq, 17 tahun, yang kini beraksi untuk Leicester City, hadir ke Bumi Kenyalang petang semalam setelah terbang terus dari United Kingdom.

Hasil serangan bertali arus itu, Razen mencipta gol pertama buat Brunei pada minit ke-26.

Kemasukan Tarrao mengubah rentak permainan Macau apabila mereka mula menggandakan asakan.

Diberitakan mengalami kecederaan, Tarrao bagaimanapun jelas menjadi duri dalam daging apabila menjadi punca utama drama kekalahan Brunei.

Bermula dengan dikasari sedikit di luar kotak penalti oleh penjaga gawang Brunei, Wardun Yussof, yang kemudian dihadiahkan kad merah, perancang, Azwan Ali, terpaksa dikeluarkan untuk memasukkan penjaga gol kedua, Mohammad Tarmizi Johari.

Setelah itu, menerusi sepakan percuma, Leong Ka Hang tidak mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-58.

Bermain dengan 10 orang, Brunei seakan-akan hilang semangat biarpun tidak mudah mengalah dengan asakan-asakan berbahaya.

Namun, kegagalan penyudah yang baik menyebabkan Macau berjaya mempertahankan jaringan penyamaan sehingga ke hujung permainan.

Bagi ketua jurulatih Macau, Tam Iao San, pemainnya bermain di bawah keupayaan sebenar dan terpaksa bermati-matian menahan asakan Brunei.

“Syukur, kami dapat menyerap tekanan dan menghalang lawan daripada terus mengasak ke kawasan gawang.

“Yang penting, kami menang dan layak ke peringkat seterusnya. ”

Kata Tam, meskipun kelebihan berpihak kepada pasukannya, namun pemain gagal mengambil kesempatan yang terbit.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada kesemua pemain, termasuk pemain Brunei yang bermain dengan cukup berdisiplin dan bersungguh-sungguh,” katanya lagi.

Macau akan bertemu Nepal dalam aksi penentuan juara sulung Piala Solidariti AFC di Stadium Sarawak pada Selasa manakala Brunei akan bertemu Laos pada Isnin untuk penentuan tempat ketiga.