Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, membandingkan wira dua gol, Marcus Rashford, dengan Cristiano Ronaldo selepas jaringan sepakan percumanya ke atas Chelsea dalam saingan Piala EFL.

Sepakan percuma Rashford pada minit ke-73 itu menoktahkan kemenangan 2-1 di tempat lawan ke atas Chelsea dan menempah slot ke suku akhir untuk United.

Michy Batshuayi menafikan jaringan pembukaan bintang England itu pada minit ke-25 selepas perlawanan melewati 60 minit sebelum Rashford sekali lagi bertindak sebagai penjaring -- sepakan percuma yang mirip dengan teknik digunakan oleh Ronaldo.

Legenda United, Ronaldo, menikmati enam musim di Old Trafford, di mana dia menjaringkan beberapa gol menerusi sepakan percuma serta memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara (UCL) sebelum berhijrah pada 2009.

"Sama macam Ronaldo bukan?" kata Solskjaer kepada MUTV. "Pemain itu seorang yang kental, mengambil sepakan penalti, tiada masalah. Mengambil langkah dan melepaskan rembatan untuk menjaringkan gol kemenangan United, ia menakjubkan.

"Saya berasakan dia terlalu banyak berlatih menyempurnakan sepakan percuma. Saya sentiasa cuba memberitahu Rashford untuk menghasilkan gol mudah dalam kotak penalti dan dia sentiasa menjaringkan gol yang cantik. Dia telah berlatih dan inilah hasilnya.

"Rashford memiliki kebolehan melakukan percubaan itu. Saya telah banyak kali melihat dia melakukannya dan akhirnya ia berhasil. Perlawanan pertama saya ketika kembali ke Cardiff, dia menjaringkan gol dari luar kotak penalti, menjaringkan gol selepas tiga minit perlawanan bermula, jadi dia sentiasa mendorong dirinya untuk melakukan lebih lagi."

Pertahanan United, Victor Lindelof, turut membandingkan Rashford dengan pemenang Ballon d'Or lima kali, Ronaldo, selepas tamat perlawanan.

Menerusi laman twitter, Lindelof memuat naik gambar yang hampir di antara Ronaldo dan Rashford ketika mengambil sepakan percuma, dengan berkata, "Saya macam pernah melihatnya sebelum ini…"
United mengekalkan rentak permainan cemerlang, sekali gus merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut di tempat lawan.

"Kami dalam prestasi terbaik," kata Solskjaer kepada Sky Sports. "Sejujurnya, tiga kemenangan berturut-turut di tempat lawan sememangnya sesuatu yang positif buat pasukan. Kami kerap berkunjung ke tempat lawan minggu lalu dan mendapatkan keputusan ini, ia melonjakkan semangat pasukan.

"Kami mendapat apa yang dimahukan daripada perlawanan ini. Mendahului 1-0 dan mula membentuk corak permainan. Saya berasakan kami telah menampilkan aksi cemerlang, serangan balas yang berkualiti, hantaran pantas yang lancar, inilah gaya permainan United yang mahu kami tonjolkan."