Memphis Depay telah menolak beberapa tawaran kontrak baru daripada Lyon tetapi kelab itu tidak berputus asa untuk mengikatnya dengan perjanjian baru, menurut presiden Jean-Michel Aulas.

Tonggak antarabangsa Belanda itu dilaporkan menyertai Lyon daripada Manchester United pada Januari 2017 dengan harga €16 juta (RM75.4j) dan sejak itu dia menjadi nadi pasukan itu dalam saingan Ligue 1.

Selepas tempoh yang sukar di England dengan hanya menyumbat dua gol dalam 33 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), Depay menemui semula sentuhan berbisanya sejak berpindah ke Perancis apabila meledak 43 jaringan dalam 102 penampilan.

Dia memulakan kempen 2019-20 dengan baik sebelum ditimpa kecederaan lutut serius hingga menamatkan kempennya tetapi akibat wabak koronavirus baru (Covid-19), ini bererti Depay mungkin boleh memainkan peranan dalam baki saingan kali ini.

Sepanjang di Lyon, dia sering menjadi topik spekulasi perpindahan dan dengan kontraknya tinggal setahun lagi, khabar angin akan bertiup lebih kencang sekiranya dia kembali cergas.

Aulas, bagaimanapun, memberi jaminan kepada penyokong kelab itu bahawa beliau akan melakukan segala yang terdaya untuk mengekalkannya bersama Les Gones.


"Kami terus berusaha," katanya kepada stesen televisyen rasmi kelab itu.

"Kami bercakap dengan ejennya, saya ada berbual dengannya dan kami akan berpeluang bertemu dengannya.

"Kami akan melakukan segalanya untuk memanjangkan kontraknya. Semua pihak di Lyon menyokong usaha untuk melanjutkan kontraknya.

"Kami berusaha keras. Saya sering bertukar pendapat dengan Memphis; pengurus, Rudi Garcia, dan Pengarah Sukan Lyon, Juni (Juninho Pernambucano). Bukanlah setiap hari, tetapi secara berkala.

"Kami memberinya sejumlah tawaran tetapi ditolaknya, Dia menunggu masa untuk kembali beraksi, Dia mahu mewakili Belanda dalam Euro sebelum ditimpa kecederaan ini.

"Dia pulih lebih awal tetapi buat masa ini kami tidak mencapai kata sepakat."