Lyon ikut jejak langkah Atalanta

Oleh Penulis Jemputan 24 November 2017 179
Lyon ikut jejak langkah Atalanta
OLYMPIQUE LYON 4 APOLLON LIMASSOL 0

Olympique Lyon menepati ramalan apabila menduduki tangga kedua saingan Kumpulan E, Liga Europa, selepas menewaskan Apollon Limassol 4-0 dalam aksi di Stadium Groupama, awal pagi tadi.


Bermain di laman sendiri, Lyon yang dikendalikan oleh Bruno Genesio menampilkan rangkaian serangan yang terdiri daripada Bertrand Traore, Mariano Diaz dan Memphis Depay.

Bagaimanapun, Mouctar Diakhaby yang terlebih dahulu mencuri tumpuan pada minit ke-29 apabila membuka tirai jaringan buat tuan rumah.

Kesilapan penjaga gol Apollon, Bruno Vale, yang gagal menahan bola hasil daripada situasi kelam-kabut di depan gol pantas dihidu pemain tengah berusia 20 tahun itu sebelum mudah menolak bola masuk untuk meletakkan Lyon di depan.

Tiga minit kemudian, giliran ketua pasukan, Nabil Fekir, untuk menambah jaringan buat Lyon apabila menerima hantaran lintang daripada Depay yang berada di sebelah kiri. Fekir sempat menahan bola menggunakan dada sebelum melepaskan sepakan separa voli untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Permainan babak kedua menyaksikan Lyon terus memburu gol sambil lawan jelas bergelut untuk mencari ruang bagi merapatkan jurang gol.

Kelincahan pemain gantian, Houssem Aouar, di sebelah kanan memberikan masalah buat benteng pelawat dan hasilnya, dia berjaya membuka ruang buat Mariano untuk menanduk masuk gol ketiga Lyon pada minit ke-67.

Tatkala aksi bakal berakhir dengan keputsan 3-0, Myziane Maolida melengkapkan malam gemilang buat tuan rumah menerusi jaringan keempat. 

Penyerang berusia 18 tahun itu yang masuk menggantikan Depay pada minit ke-74 melepaskan rembatan yang diselamatkan oleh Vale, namun Maolida pantas menyambar bola muntah untuk memastikan kemenangan 4-0 menjadi milik Lyon.

Kemenangan itu menyaksikan anak buah Genesio berkongsi 11 mata dengan pendahulu Kumpulan E, Atalanta, yang menewaskan Everton 5-1 dalam satu lagi aksi peringkat kumpulan di Goodison Park, dan kedua-dua pasukan telah pun layak ke kelompok 32 pasukan terakhir.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen