Luqman Hakim: Pemain senior Kortrijk pun kena marah, apa lagi saya

Oleh Shaiful Shamsudin 27 Oktober 2020 29997
Luqman Hakim: Pemain senior Kortrijk pun kena marah, apa lagi saya
Mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama yang diturunkan beraksi dalam saingan divisyen utama liga Eropah, penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, mengakui berdepan cabaran komunikasi dalam penampilannya bersama KV Kortrijk, kelmarin. 

Pemain berusia 18 tahun itu berkongsi kepada wakil Astro Arena, Syakirah Zulkifly, bahawa ia satu pengalaman yang sangat berharga selepas diberi kepercayaan walaupun hanya beraksi 16 minit terakhir ketika tewas kepada RSC Anderlecht. 

"Saya dapat pengalaman baru, belajar perkara baru. 

"Saya timba banyak ilmu daripada pemain yang lebih senior. Cuma (dalam pengalaman penampilan pertama ini) saya kurang berkomunikasi kerana saya masih baru.

"Tetapi mereka memberi banyak tunjuk ajar kepada saya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah produk akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) itu, dia kagum dengan semangat yang ditampilkan oleh rakan sepasukan selain menganggap mereka bersifat terbuka untuk menerima sebarang teguran tanpa mengira perbezaan umur.

Penjaring terbanyak Kejohanan AFC B-16 2018 itu berikrar mengambil peluang ketika dikelilingi rakan sepasukan yang berpengalaman dalam usaha meningkatkan prestasi serta terus disenaraikan dalam barisan bimbangan Yves Vanderhaeghe tersebut.

 
Posted by KV Kortrijk on Monday, October 26, 2020


"Paling saya terkejut, tidak kira anda berumur 18 mahupun 33, 36 tahun, tetap dimarahi sekiranya berbuat kesilapan, saya sendiri pun dimarahi.

"Tapi mereka terima semua arahan asalkan ia betul dan bangkitkan semangat mereka," katanya lagi.  

Kortrijk akan menyambung saingan di Belgium itu ketika menyambut Beerschot Sabtu ini. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen