Bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, bersikap rendah diri apabila meletakkan dirinya sebagai pemain muda berbanding pemain kelab dari luar negara sepanjang sesi latihan skuad senior kebangsaan, yang kali pertama disertainya, di Johor Bahru sejak kelmarin.

Berkongsi perkara itu kepada pengamal media tempatan, penyerang kelab Belgium, KV Kortrijk, itu turut mendedahkan rahsia di sebalik perubahan fizikalnya yang kelihatan lebih tegap ketika ini.

Dia berkata dalam sidang media: "Bagi saya, saya dengan pemain lain semuanya sama sahaja sebab mereka semua ada pengalaman tersendiri, jadi tiada apa beza.

"Untuk saya sendiri, saya meletakkan diri saya sebagai pemain muda. Ia bagi meningkatkan keyakinan saya untuk bermain di peringkat tertinggi bersama skuad kebangsaan.

"Saya rasa beruntung kerana sebelum ini saya berlatih dengan pasukan utama KV Kortrijk, jadi saya dapat menyesuaikan diri dengan pemain yang lebih tua," katanya.

Mengulas mengenai perubahan fizikalnya, Luqman Hakim menambah: "Bagi saya, perubahan fizikal ini memberikan kebaikan buat diri saya sendiri.

"Di sana (Belgium), badan mereka semua besar-besar, jadi ia bagus untuk kekuatan diri saya.

"Jika, terlalu kurus, lebih mudah untuk saya dilanggar.

"Di sana, pemakanan saya dijaga kerana sarapan dan makan tengah hari disediakan oleh kelab saya. Makan malam sahaja sendiri," katanya lagi.