Robert Moreno ingin melupakan peristiwa meninggalkan jawatan sebagai pengurus Sepanyol dan insiden bertelagah dengan Luis Enrique selepas beliau dilantik sebagai ketua jurulatih kelab Ligue 1, Monaco.

Pengendali berusia 42 tahun itu berkhidmat sebagai penolong pengurus La Roja sehingga Luis Enrique meletak jawatan untuk menjaga anak perempuannya, Xana, yang kemudian meninggal dunia Ogos lalu disebabkan kanser tulang.

Moreno mengambil alih jawatan itu secara tetap dan membimbing Sepanyol layak ke Euro 2020 tetapi Luis Enrique kembali bulan lalu dan tidak melantik bekas penolongnya itu kerana gagal mencapai persetujuan.

Bekas pengendali Barcelona itu mendakwa Moreno seorang yang "tidak setia" bulan lalu.

Bercakap dua hari selepas dilantik sebagai pengganti Leonardo Jardim di Monaco, Moreno -- yang sebelum ini bekerjasama dengan Enrique di Roma, Celta Vigo dan Barcelona -- mahu memperjelaskan isu tersebut.

"Saya menikmati sembilan tahun yang indah bersama Enrique," katanya. "Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih. Apa yang berlaku sejak beberapa minggu lalu sudah dilupakan.

"Saya telah berkhidmat sebagai jurulatih selama 28 tahun. Sejak berusia 14 tahun, saya telah menjalani latihan dan perkara paling penting sekarang adalah membuktikan kemampuan saya. Apa yang berlaku telah berlalu."

Moreno tidak pernah mengendalikan sebarang kelab profesional tetapi menegaskan beliau menyedari apa yang diperlukan untuk berjaya.

"Saya sentiasa terlibat dalam setiap proses latihan dan akan cuba menerapkannya bersama pasukan ini.

"Saya akan memberikan taklimat, menilai kemampuan lawan serta berbincang dengan pemain-pemain. Saya sudah biasa melakukan semua ini," tambahnya.

Aksi pertama Moreno adalah saingan Coupe de France berdepan Reims, Sabtu ini sebelum kembali ke saingan Ligue 1 berdepan Paris Saint-Germain (PSG) minggu berikutnya.



Editor: Ammar Hakim