Romelu Lukaku percaya bahawa Inter sudah bersedia untuk mengakhiri kemarau trofi hasil etika kerja Antonio Conte.

Bekas penyerang Manchester United itu mendedahkan bekerjasama dengan pengurus berbangsa Itali tersebut telah mengubah corak permainannya apabila berasa seperti bertukar menjadi pemain yang berbeza sejak berpindah ke San Siro.

Dalam cabaran merebut gelaran Serie A musim lalu, Inter hanya ketinggalan satu mata di belakang Juventus selepas juara bertahan itu tewas dalam dua perlawanan terakhir mereka.

Inter juga mara ke final Liga Europa tetapi harapan mereka untuk menempa kejuaraan sejak kejayaan Coppa Italia 2010-11 dimusnahkan apabila tewas 2-3 kepada Sevilla.

Kegagalan dalam kempen Eropah itu meningkatkan kesangsian terhadap masa depan Conte di Inter, tetapi dia terus menerima sokongan daripada pucuk pimpinan, lantas Lukaku gembira bekas pengurus Juventus itu kekal memainkan peranan mengemudi Nerazzurri.

"Dengan Conte, saya dapat meningkatkan permainan dalam setiap aspek," kata penyerang Belgium itu yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Europa 2019-20.

"Jika anda ingin beraksi di bawah bimbingannya, anda perlu sedar bahawa anda harus bersedia berkorban untuk pasukan. Tahap fizikal dan mental anda harus berada di puncak dan jika anda berjaya di lapangan, anda dapat berasakan satu perasaan yang terbaik. "



Bercakap di Festival dello Sport, Lukaku menambah adalah penting untuk terus berusaha dalam pemburuan kejayaan.

Menurutnya: "Matlamat saya sebagai pemain bola sepak adalah memenangi trofi dan dengan Conte, saya mampu melakukannya.

"Saya mengerahkan 100 peratus kudrat dalam setiap sesi latihan dan perlawanan, anda boleh melihat hasilnya pada masa akan datang. Kami harus terus berusaha, berlatih dan meningkatkan karakter kami demi kemenangan."