Romelu Lukaku, 24, kini bergelar penjaring terbanyak Belgium selepas mencetak gol tunggal perlawanan ketika bertemu Jepun di Bruges, awal pagi tadi.

Sebelum itu, penggempur Manchester United itu berkongsi jumlah 30 gol dengan Bernard Voorhoof dan Paul Van Himst selepas menyumbat dua gol ketika terikat 3-3 dengan Mexico, minggu lalu.

Lukaku berdepan kesukaran sepanjang permainan itu untuk melepasi benteng mantap Jepun.

Namun, dia mengatasi rekod itu menerusi jaringan kemenangan ketika permainan berbaki 18 minit menuju waktu penamat sebaik melakukan tandukan dari jarak dekat untuk menyudahkan hantaran lintang Nacer Chadli.

Sehubungan itu, jurulatih Belgium, Roberto Martinez, berpuas hati dengan corak bertahan Belgium selepas dia menyuarakan kebimbangan mengenai bahagian pertahanannya.

Meskipun diperkuatkan dengan bintang handalan kelab utama Eropah, mereka mudah dirobek dengan melepaskan enam gol dalam dua aksi ujian dengan Haiti dan Brazil.