Antonio Conte memuji Romelu Lukaku kerana mempamerkan satu lagi aksi individu gemilang dalam suku akhir Liga Europa awal pagi tadi tetapi mengakui penyerang itu turut bergantung kepada rakan sepasukannya di Inter Milan.

Lukaku menjaringkan gol kemenangan yang membawa Inter ke separuh akhir selepas menewaskan Bayer Leverkusen 2-1 di Dusseldorf awal pagi tadi dan akan mencongak perhitungan sama ada dengan Shakhtar Donetsk atau Basel.

Nicolo Barella, yang memanfaatkan bola lantunan daripada percubaan awal Lukaku, membuka jaringan pada awal permainan sebelum bintang Belgium itu menggandakannnya dan Kai Havertz kemudian merapatkan jurang buat Leverkusen.

Lukaku berpeluang menjaringkan hatrik seandainya pengadil, Carlos de Cerro, tidak membatalkan dua sepakan penalti selepas rujukan video bantuan pengadil (VAR).

Tetapi ketika memuji Lukaku, yang menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan Liga Europa berturut-turut dan menghimpunkan 29 jaringan dalam kesemua kejohanan musim ini, Conte mengakui pemain itu tidak dapat melakukan apa-apa tanpa sokongan rakan sepasukannya.

"Amat sukar untuk berbicara tentang individu apabila pasukan anda beraksi dengan amat baik," kata ketua jurulatih Inter itu kepada Sky Sport Italia.

"Romelu memiliki musim yang sangat hebat, dibantu oleh rakan sepasukan, yang meletakkan setiap pemain di posisi tebaik untuk menonjolkan diri dan juga dapat memberikan yang terbaik secara individu.

"Saya gembira buatnya, dia layak menerima kejayaan ini tetapi Romelu juga perlu berterima kasih kepada rakan sepasukan yang meletakannya dalam keadaan untuk menonjolkan diri dan berada dalam prestasi terbaik sepanjang kariernya," katanya.

Walaupun Conte mengakui pasukannya perlu lebih klinikal di depan gawang, dia tidak ada banyak rungutan memandangkan Inter hanya dipisahkan dengan 90 minit lagi untuk ke final Liga Europa buat kali pertama sejak 2010.

"Kami amat berpuas hati kerana ia persembahan yang amat baik," kata Conte, yang pasukannya menamatkan saingan Serie A di tangga kedua dan hanya dibezakan satu mata dengan Juventus.

"Seperti yang selalu saya katakan, kami sepatutnya dapat menamatkan perlawanan lebih awal dan lebih tenang.

"Kami tidak membenarkan mereka memiliki peluang tetapi faktanya adalah kami mempunyai terlalu banyak peluang dan sepatutnya menjaringkan lebih daripada dua gol.

"Pemain telah menunjukkan betapa bernafsunya kami, betapa mereka berazam untuk membuktikan apa yang mereka lakukan itu sesuatu yang penting.

"Kami berpeluang untuk bermain dalam separuh akhir Liga Europa. Kami mahukan pencapaian maksimum. Kami mahu mara sejauh mungkin," katanya lagi.

Satu-satunya pemain yang akan terlepas perlawanan separuh akhir adalah Alexis Sanchez, yang mengalami kekejangan otot di kaki kanannya.