Lukaku catat sejarah dalam Liga Europa

Oleh Muzaffar Musa 11 Ogos 2020 1412
Lukaku catat sejarah dalam Liga Europa
Romelu Lukaku menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan Liga Europa berturut-turut ketika Inter Milan menewaskan Bayer Leverkusen 2-1 di Dusseldorf awal pagi tadi, sekali gus mencatat sejarah baru dalam kejohanan itu.

Penyerang itu meletakkan skuad kendalian Antonio Conte berkenaan mendahului 2-0 pada minit ke-21 perlawanan suku akhir itu hasil sepakan leret selepas mengatasi Edmond Tapsoba sebelum Kai Havertz merapatkan kedudukan buat Leverkusen.

Selepas menyamai rekod jaringan milik Alan Shearer dengan gol ke atas Getafe minggu lalu, Lukaku menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan Liga Europa atau Piala UEFA.

Pemain kebangsaan Belgium itu sebelum ini pernah tampil bersama Everton dalam kejohanan berkenaan musim 2014-15, di mana dia menjaringkan gol ke atas Dynamo Kiev, Young Boys dan Wolfsburg.
 
Lukaku berpeluang menambah jaringan tidak lama selepas gol Havertz apabila Daley Sinkgraven didapati menggunakan tangan dalam kawasan penalti tetapi keputusan itu berubah selepas pengadil menggunakan video bantuan pengadil (VAR).

Dalam musim Serie A pertamanya, bekas penyerang Manchester United itu turut menjaringan 23 gol buat Inter, di mana mereka menamatkan saingan itu di tangga kedua di belakang Juventus.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen