Luis Enrique mempertahankan keputusannya untuk menggunakan penyerang yang kurang diiktiraf ketika Sepanyol memerlukan gol pada minit terakhir tuntuk mengikat Switerland 1-1 dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) awal pagi tadi.

Sepanyol hampir tewas buat kali kedua berturut-turut dalam saingan Kumpulan A4 itu sebelum pemain gantian, Gerard Moreno, memadamkan jaringan separuh masa pertama Remo Freuler dalam perlawanan yang turut menyaksikan Sergio Ramos mensia-siakan dua sepakan penalti.

Selepas meletakkan Gerard dan Alvaro Morata dalam kesebelasan utama ketika mengikat Belanda 1-1 dalam perlawanan persahabatan Rabu lalu, Luis Enrique kembali merombak bahagian serangannya di St Jakob-Park dengan menggunakan Dani Olmo selaku penggempur utama.

Bagaimanapun, hanya penyerang Villarreal, Gerard, berupaya menjadi penyelamat Sepanyol selepas menyudahkan dari jarak tujuh ela bola hantaran lintang Sergio Reguilon -- salah satu daripada 20 percubaan yang dilakukan pasukan pelawat itu.

Skuad kendalian Luis Enrique itu telah menjaringkan tiga gol daripada lima perlawanan terakhir tetapi ketua jurulatih itu tidak berganjak dengan keputusannya memasukkan Morata dan Gerard sebagai pemain gantian dalam babak kedua di Basel.

"Bola sepak boleh menjadi seperti itu. Ia perlawanan yang hebat tetapi adakalanya ia tidak adil.

"Banyak perkara berlaku dan kami mencuba untuk bermain dengan cara kami.

"Kami fikir pemain nombor sembilan kami tidak perlu bermain dalam babak pertama.

"Kami kurang cergas tetapi saya fikir Switzerland bermain dengan bagus.

"Kami kekurangan apabila ia melibatkan perkara paling sukar -- menjaringkan gol.

"Berdasarkan apa yang dipamerkan dalam babak pertama, kami lebih layak menang, juga jika dilihat kepada babak kedua.

"Amat mudah untuk berkata selepas perlawanan bahawa Morata sepatutnya bermain atau Gerard sepatutnya bermain," katanya.

Sepanyol hanya memungut satu mata daripada dua perlawanan terakhir Kumpulan A4 selepas tewas 0-1 kepada Ukraine bulan lalu dan akan berdepan Jerman -- yang bekelebihan satu mata selepas menewaskan Ukraine 3-1 awal pagi tadi -- dalam perlawanan terakhir Selasa ini, yang akan menentukan kedudukan teratas kumpulan itu.

"Saya sudah ada perancangan untuk perlawanan menentang Jerman. Kami perlu melihat bagaimana pemain akan pulih dan menggunakannya sebagai penilaian.

"Tetapi kami sedar bahawa kami perlu menang atau tersingkir seperti ia adalah perlawanan kalah mati dalam Kejohanan Eropah," tambahnya.