Luis Enrique mengambil tanggungjawab di atas kekalahan 4-3 Barcelona kepada Celta Vigo pada Ahad susulan deretan kesilapan oleh penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen.

Kesilapan-kesilapan pemain Jerman itu mempunyai pengaruh besar terhadap keputusan pada penghujung perlawanan sambil juara bertahan itu mengalami kekalahan keduanya daripada tujuh perlawanan La Liga musim ini.

Tetapi bekas jurulatih Celta, Luis Enrique, cuba untuk mengalihkan kesalahan daripada penjaga gol berusia 24 tahun itu berikutan kekalahan yang meninggalkan Barca di tangga keempat, dua mata di belakang Atletico Madrid menjelang tempoh rehat antarabangsa.

“Kekalahan ini adalah angkara semua orang,” katanya kepada Barca TV.

“Pertamanya untuk saya, sayalah yang bertanggungjawab ke atas pasukan. Kini kami perlu bangkit kembali.

"Ia adalah hari yang penting buat kami kerana kami berpeluang untuk melonjak ke tangga teratas dan kami tidak mengambil kesempatan ke atas itu.

"Kami memulakan permainan dengan baik dan dalam 15 minit pertama. Saya berasa gembira tetapi selepas itu, kami memasuki dinamik yang negatif dan mula tewas saingan individu yang mana mereka lebih baik daripada kami.

"Pemain-pemain bukannya mesin, kami perlu bangkit dan bersaing dalam perlawanan berikutnya.”

Enrique juga mempertahankan keputusannya untuk menamakan Andres Iniesta dalam kalangan pemain gantian di Estadio de Balaidos.

"Jangan tanyakan soalan mudah itu sekarang,” katanya sebagaimana dipetik oleh Canal+.

"Saya perlu memutuskan sebelum perlawanan, bukannya selepas. Saya tidak menyesali apa-apa. Saya menerimanya sebagai sebahagian tugas saya.”

Didesak mengenai impak kesilapan Ter Stegen, dia menambah: “Satu lagi soalan mudah. Semua penjaga gol Barcelona sentiasa perlu mengambil risiko. Hari ini keseluruhan pasukan telah kalah. Banyak yang perlu kami perbaiki.”