Presiden Atletico Madrid, Enrique Cerezo, menafikan laporan bahawa Lucas Hernandez kini menjadi buruan Bayern Munich sambil menegaskan pertahanan Perancis itu mahu kekal dalam saingan LaLiga.

Hernandez, 22, muncul selaku antara pertahanan muda terbaik di Eropah selepas menggantikan Filipe Luis dalam kesebelasan utama Atletico.

Dia juga melakukan penampilan hebat buat Les Bleus ketika di Russia tatkala Perancis mengesahkan trofi Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah.

Laporan di Sepanyol mendakwa Bayern mahu membawa Hernandez ke Bavaria dan bercadang menebus klausa perpindahannya bernilai EUR80 juta (RM380 juta).

Namun, Cerezo percaya pemain bek kiri itu akan memilih untuk kekal di Wanda Metropolitano.

"Ketika ini, Lucas Hernandez adalah pemain Atletico Madrid. Dia mahu kekal di sini," kata Cerezo.

Dalam masa sama, Cerezo tidak mahu memikirkan tentang langkah Bayern dalam cubaan mendapatkan khidmat pemainnya itu.

"Biarkan mereka membayar klausa perpindahan itu. Kami mencipta pasukan hebat dan bukan mahu menjualnya."

Bayern bukan satu-satunya pasukan yang memburu khidmat Hernandez tatkala pemenang Piala Dunia 2018 itu mengakui bahawa dia telah menerima tawaran untuk berhijrah ke musuh ketat Atletico, Real Madrid.

"Saya tidak memikirkan tentang tawaran itu," ujar Hernandez.

"Saya fokus sepenuhnya buat kelab dan baru-baru ini saya menandatangani kontrak baru.

"Ejen saya memberitahu tentangnya tetapi saya menjawab saya tidak boleh melakukannya.

"Atletico adalah kelab saya. Mereka pasukan yang memberikan saya segalanya. Saya jujur dan tidak mahu ke Los Blancos.

"Saya harap dapat kekal lama di sini tetapi bola sepak berjalan pantas. Jika ada tawaran lain, mungkin saya tidak dapat menolak."

Hernandez berhijrah ke Sepanyol ketika berusia empat tahun, menyertai pasukan belia Atletico tujuh tahun kemudian sebelum melakukan penampilan pertama dalam skuad utama di penghujung 2014.