Lucas Hernandez tidak akan meninggalkan Atletico Madrid bulan depan tetapi bakal menyertai Bayern Munich di penghujung musim ini, kata pengarah eksekutif kelab LaLiga itu, Miguel Angel Gil Marin.

Masa depan Lucas menjadi perhatian dalam beberapa minggu ini selepas media Marca melaporkan Bayern bersedia untuk membayar klausa perpindahan pertahanan itu berjumlah EUR80 juta (RM381 juta).

Pemain berusia 22 tahun itu menegaskan dia mahu kekal di ibu kota Sepanyol itu dan pengendali Atletico, Diego Simeone, meluahkan hasrat untuk terus menggunakan khidmat pertahanan Perancis itu.

Bayern menafikan sebarang perjanjian dicapai tetapi tetap mendedahkan minat terhadap Lucas, namun Gil Marin menegaskan Atletico tidak bercadang untuk melepaskan pemain itu bulan depan.

Dia terbuka untuk membincangkan perpindahan melibatkan Lucas jika Bayern masih mahu membawa pemain itu ke Bundesliga selepas tamat musim 2018/19.

"Pemain itu tidak boleh meninggalkan Atletico apabila jendela perpindahan dibuka bulan depan," kata Gil Marin.

"Kami memiliki hubungan baik dengan Bayern dan akan bertemu mereka bulan depan bagi mendapatkan penyelesaian situasi ini.

"Jika pemain tersebut mahu meninggalkan pasukan, kami akan berbincang tetapi hanya untuk perpindahan Julai depan," katanya lagi.